Sabtu, 6 Februari 2010

CAP dakwa ada barangan naik hingga 140 peratus

BERNAMA


GEORGETOWN: Tinjauan yang dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati harga beberapa barangan seperti kacang dal malavi, kacang hijau, bawang putih dan gula perang, naik antara 50 hingga 140 peratus sejak empat bulan lalu.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata bawang putih menunjukkan kenaikan harga paling tinggi sejak November lalu iaitu daripada RM2.50 sekilogram kepada RM6.

"Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati kacang dal malavi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram meningkat sehingga RM8, kacang hijau pula daripada RM3 sekilogram menjadi RM5 dan gula perang RM2 sekilogram naik RM1," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa peruncit juga turut mengadu bahawa pengedar dan pemborong telah memaklumkan kepada mereka bahawa beberapa barangan lain seperti milo, susu pekat masin dan rempah ratus mungkin naik antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya memantau kenaikan harga barangan di negeri ini.

"Kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya akan menjejaskan pengguna terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tindakan segera perlu dilakukan bagi menurunkan serta mengawal harga semua barangan," katanya.

Sementara itu, KPDNKK Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang enggan mematuhi harga barangan terutama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina yang akan berkuat kuasa minggu depan.

Pengarahnya, Abdul Rahim Hassan, berkata pemantauan rapi dan ketat akan dilakukan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum borong dan runcit barangan yang disenaraikan dalam skim berkenaan.

"Pelaksanaan skim kawalan harga itu akan dilaksanakan selama 11 hari bermula 10 hingga 21 Februari ini dan kita akan menjalankan pemantauan secara rapi bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan," katanya.

Tiada ulasan: