Jumaat, 12 Februari 2010

Buku Kg Medan: Mahkamah tolak semakan kehakiman

BERNAMA



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh seorang penulis untuk membatalkan keputusan kerajaan mengharamkan bukunya berhubung insiden rusuhan di Kampung Medan, Petaling Jaya, hampir sembilan tahun lalu.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan bahawa keputusan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Fu Ah Kiaw, untuk mengharamkan buku berbahasa Tamil bertajuk 'March 8' adalah sah.

Katanya timbalan menteri berkenaan mempertimbangkan fakta bahawa pengedaran buku itu akan memudaratkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam dengan meracuni fikiran pembaca khususnya kaum India.

Menurutnya dalam kes itu, timbalan menteri tersebut mempunyai budi bicara mutlak untuk menggunakan kuasa menteri dalam melarang penerbitan dan percetakan buku itu selepas dia mengambil kira pandangan daripada pihak polis dan kementerian.

Dalam menolak permohonan itu, Mohamad Ariff, bagaimanapun, tidak memerintahkan kos kerana kes tersebut membabitkan kepentingan awam.

Beliau merupakan hakim yang sama membatalkan larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas buku, 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism', dalam semakan kehakiman yang dipohon oleh pertubuhan bukan kerajaan, Sisters in Islam (SIS) pada 25 Januari lalu.

Mohamad Ariff berkata setiap kes mempunyai fakta kes berbeza dan untuk mencapai keputusan beliau perlu mengambil kira semua faktor termasuk soal kebudayaan dan sensitiviti.

Penulis buku berkenaan K Arumugan, seorang jurutera yang kemudian menjadi peguam, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 23 Februari 2007, memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan kerajaan melarang penerbitan, penjualan dan pengedaran buku itu pada 21 November 2006, sebagai batal dan tidak sah.

Dalam permohonan itu, Arumugam, 51, menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu dan kerajaan sebagai responden.

Arumugam (kanan), yang diwakili oleh Edward Saw, memberitahu pemberita bahawa beliau menghormati keputusan itu dan akan berunding dengan peguamnya sama ada mahu mengemukakan rayuan atau tidak.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi.


Tiada ulasan: