Selasa, 16 Februari 2010

BBCBN: Mansuh kuorum, undi belah bahagi elak nasib Bajet 2010

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR — Ekoran insiden kerajaan nyaris-nyaris gagal meluluskan Bajet 2010 akhir Disember lalu, kejadian julung kali dalam lima dekad Parlimen Malaysia, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) akan mengemukakan syor sistem kuorum di Dewan Rakyat dimansuhkan.

Turut akan dicadangkan untuk dimansuhkan ialah sistem pengundian belah bahagi di Dewan Rakyat.

BBCBN merasakan kedua-dua aspek berkenaan ‘disalahgunakan’ oleh pembangkang untuk melengah-lengahkan urusan meluluskan sesuatu rang undang-undang.

Kedua-dua aspek berkenaan menjadi tumpuan ekoran insiden Bajet 2010 yang nyaris gagal diterima pada 14 Dis lalu dan ketika membahaskan Rang Undang-Undang DNA 2008.

“Kami di BBCBN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji perkara-perkara... ia sedang dikaji oleh beberapa pengamal perundangan.

“Apabila selesai kajian, kami akan mengemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk pertimbangan,” kata Timbalan Pengerusi BBCBN Datuk Bung Moktar Radin ketika ditemui.

Jika praktikal Speaker Dewan Rakyat boleh mengemukakan kepada Kabinet dan seterusnya dibahaskan untuk kelulusan Parlimen.

Ketika ditanya sama ada praktikal untuk Dewan Rakyat bersidang tanpa sistem kuorum, Bung Mokhtar berkata pihaknya berpendapat bahawa ia boleh dilaksanakan walaupun sudah lebih lima dekad negara mengamalkan sistem diwarisi dari British.

“Di Amerika, dan beberapa negara di Eropah Parlimen berfungsi tanpa sistem kuorum... walaupun dengan hanya seorang anggota, dia masih boleh berbahas dengan dipengerusikan oleh speaker.

“Jadi, kami merasakan tidak perlu sistem kuorum macam sekarang di negara kita... kita terima pakai cara kita. Begitu juga sistem undi belah bahagi yang adakalanya diambil kesempatan oleh wakil pembangkang untuk melengah-lengahkan kelulusan sesuatu undang-undang,” kata wakil rakyat tiga penggal bagi kerusi Kinabatangan ini.

Menurut beliau, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mewajibkan kuorum 26 orang. Dewan Rakyat kini terdiri daripada 222 orang.

Dewan Rakyat juga memerlukan sokongan 15 Ahli Parlimen untuk diadakan undi belah bahagi.

Dewan Rakyat Ke-12 sekarang merupakan pertama kali memperlihatkan kehadiran 85 anggota bukan kalangan kerajaan yang memerintah.

Kini BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala Pakatan Rakyat pula 80 dan empat yang lain Bebas serta seorang wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pernah memberitahu The Malaysian Insider bahawa Parlimen sedang mengkaji pendekatan mengadakan jawatankuasa pilihan khas bagi membolehkan sesuatu rang undang-undang dibincangkan terlebih dahulu, sekali gus mengelakkan masalah kuorum atau tidak cukup kahadiran wakil rakyat.

Ia merupakan antara syor yang pernah dibangkitkan sebagai sebahagian pembaharuan yang hendak dibawa di Parlimen.

Malah ia dilihat lebih mendesak selepas Dewan Rakyat menyaksikan suasana cemas ketika membahaskan Bajet 2010 di peringkat jawatankuasa dan semasa membuat pengundian bacaan kali ketiga, 14 Dis lalu.

Di peringkat jawatankuasa yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri, ia diluluskan dengan perbezaan satu undi manakala bacaan kali ketiga memperoleh perakuan dengan 66 ahli menyokong dan 63 membantah.

Hampir 100 wakil rakyat tidak berada ketika pengundian dijalankan pada malam berkenaan.

Ketidakhadiran lebih 70 wakil rakyat BN termasuk sebahagiannya menteri dan timbalan menteri menyebabkan bajet sulung Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri hampir gagal diluluskan.

Dalam hal ini, Bung Mohtar berkata pembangkang juga perlu memainkan peranan sama rata dalam memastikan kuorum adalah mencukupi bagi sidang dewan berjalan tanpa gangguan.

“Kalau kuorum tidak cukup sidang Dewan Rakyat tidak boleh diteruskan.

“Oleh kerana mereka juga mempunyai keanggotaan yang ramai di Dewan Rakyat, tidak seperti dulu... jadi mereka mempunyai peranan yang sama penting untuk dimainkan, jangan serahkan kepada wakil kerajaan BN sahaja.

“Anggota pembangkang juga kena di Dewan Rakyat semasa sesuatu sidang dijalankan,” katanya.

Selain soal kuorum dan undi belah bahagi, satu lagi perkara yang dikaji semula BBCBN ialah urusan penerimaan usul oleh Dewan Rakyat.

“Berdasarkan amalan sekarang, speaker mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana usul jika ada usul yang telah dikemukakan terlebih dahulu kepada pejabat speaker.

“Oleh itu, kami akan meminta agar peruntukan baru diwujudkan agar speaker memilih usul yang penting bukannya atas dasar siapa cepat usul dia diterima,” katanya.

Tiada ulasan: