Rabu, 10 Februari 2010

Bacaan pertama pindaan ISA

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 bagi bacaan pertama pada sesi Parlimen bermula 15 Mac ini, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, draf akta itu yang kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara dengan tumpuan kepada pindaan lima perkara asas iaitu kuasa menteri, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan serta persepsi umum bahawa ISA adalah bagi tujuan politik dan penahanan tanpa bicara.

"Memang pada awalnya ISA ini dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen pada Disember lalu, tetapi tidak ada guna jika ia dibentangkan untuk bacaan pertama dan tidak boleh dibahaskan.

"Atas dasar itulah kita mengambil keputusan untuk membentangkannya pada sesi Parlimen Mac ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mengenai sama ada draf akta berkenaan sudah dibentangkan ke Kabinet, Hishammuddin berkata, ia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan sebelum dibawa ke Parlimen.

Tiada ulasan: