Sabtu, 13 Februari 2010

Artis wanita positif dadah

Oleh Samadi Ahmad


SEPANG: Seorang pelakon wanita berusia 24 tahun antara tujuh yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam sekatan jalan raya di susur keluar Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) malam tadi selepas didapati positif dadah.

Pelakon yang membintangi drama bersiri Anak Pontianak itu ditahan bersama rakan wanitanya berusia 24 tahun, kira-kira jam 9 malam.

Ketika itu mereka menaiki kereta yang dipandu rakan pelakon terbabit dalam perjalanan pulang dari LCCT selepas mendakwa menghantar barang ke pejabat pos di situ.

Penolong Pengarah AADK Selangor, Nani Sikin, berkata pelakon terbabit dan rakan pada mulanya enggan menjalani ujian air kencing sebaik ditahan untuk saringan secara rambang.

Bagaimanapun, sejurus kemudian pelakon terbabit mengaku kepada anggota AADK bahawa dia mengambil ketamin, manakala rakannya mengambil syabu.

Berikutan itu, AADK menahan mereka untuk dibawa ke pejabat agensi berkenaan di Sepang untuk ujian air kencing dan siasatan lanjut, termasuk dihantar menjalani ujian patologi mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ops Perayaan malam tadi disertai 27 pegawai AADK dan 20 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan untuk mengesan pemandu, terutama pengangkutan awam, yang mengambil dadah.

Nani berkata, sebanyak 86 pemeriksaan air kencing dilakukan dalam operasi berakhir jam 11 malam tadi.

Tiada ulasan: