Rabu, 17 Februari 2010

Anwar lantik 3 pakar DNA, forensik bantu kes liwatnya

MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik tiga pakar masing-masing seorang yang mempunyai kepakaran DNA dan dua yang lain dari bidang forensik untuk membantunya dalam kes liwat kedua dihadapi sekarang.

Pakar DNA dilantik beliau ialah Dr Brian McDonald dari Sydney, Australia.

Pakar-pakar forensik pula terdiri daripada Prof. Dr C Damodaran dari Chennai, India dan Prof Madya Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

“Pasukan peguam dan Datuk Seri Anwar telah memutuskan untuk mendapatkan khidmat tiga pakar ini.

“Saya akan membawa mereka ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok,” kata salah seorang anggota pasukan peguam Anwar, Sankara Nair dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

McDonald, anggota Australian Academy of Forensic Sciences, mempunyai pengalaman memberi keterangan dalam 100 kes di New South Wales, Tasmania, Queensland, Western Australia, Northern Territory, Singapura dan Brunei.

Beliau juga dikatakan telah memberikan khidmat nasihat melibatkan 300 kes yang lain.

Dalam pada itu, Wells berkhidmat di Jabatan Paediatrik, Monash University dan merupakan felow Faculty of Forensic and Legal Medicine-UK.

Damondran pula mempunyai 28 tahun pengalaman dalam bidang forensik dan merupakan pengasas Paternity Testing Centre, pusat pertama di India.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes liwat, yang menarik perhatian ramai termasuk wakil media luar negara, bermula 3 Feb, selepas 18 bulan Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos, 2008.

Minggu lalu Anwar memohon untuk melucutkan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dari mendengar kes liwatnya.

Keputusan itu akan diketahui esok.

Tiada ulasan: