Ahad, 14 Februari 2010

AG Ke Uruguay Bawa Balik Enjin Jet TUDM- Zahid

TV SELANGOR


Kerajaan akan memastikan dua enjin pesawat pemintas dan pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dicuri dan dijual, akan dibawa balik dari Uruguay secepat mungkin.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kini sedang dalam perjalanan ke Uruguay bagi menguruskan proses tertentu bagi tujuan tersebut.

“Beberapa dokumen perundangan telah beliau perolehi dan beliau juga telah mendapat kerjasama daripada Kedutaan Uruguay di Malaysia supaya proses membawa balik enjin itu dapat disegerakan,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 5 Feb lalu Gani berkata dua enjin pesawat pejuang F5 itu yang dicuri tiga tahun lalu telah ditemui semula dengan kerjasama kerajaan Uruguay.

Kedua-dua enjin itu diperoleh semula selepas sebulan anggota tentera berpangkat sarjan bersama seorang pengarah syarikat swasta didakwa berhubung kesalahan mencuri dan menjual enjin berkenaan.

Gani berkata kerajaan Uruguay telah menghantar notis kepada kerajaan Malaysia bahawa ia telah menemui dua enjin jet F-5E.

Katanya kerajaan menangani perkara itu dengan penuh kesungguhan dan sedang mengambil langkah perlu bagi mendapatkan kembali dua enjin berkenaan setelah menerima makluman daripada kerajaan Uruguay tentang penemuannya.

Pada akhir Disember lalu, sambil menyifatkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E sebagai “perkara serius”, Gani memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes itu.

Zahid yang dipetik Mingguan Malaysia mengulas urusan membawa balik dua enjin jet pejuang F5-E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang.

Dua enjin itu dilaporkan hilang masing-masing pada Jun dan November 2007. Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin itu hanya disedari setahun kemudian.

Zahid berkata, beliau telah berbincang dengan Gani mengenai proses membawa pulang enjin tersebut tiga hari lalu.

Seorang anggota tentera berpangkat sarjan N. Tharmendran, 42, dan seorang ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad, 37, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan dua enjin jet berkenaan pada 6 Jan lalu.

Berdasarkan kenyataan Zahid sebelum ini, nilai sebenar seunit enjin pesawat F5-E termasuk ‘afterburner’ yang hilang ialah RM303,570, bukan RM50 juta seperti dilaporkan media sebelum ini.

Tiada ulasan: