Ahad, 7 Februari 2010

4 maut nahas bas ekspres-kereta

Oleh JUNAIDI LADJANA


KOTA KINABALU - Empat termasuk tiga doktor pelatih maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas ekspres dan kereta BMW di Jalan Coastal Tanjung Aru dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kemalangan itu, pemandu bas dan seorang daripada doktor pelatih terbabit cedera parah manakala 16 lagi penumpang bas mengalami cedera ringan.

Kemalangan berlaku pukul 12.30 tengah malam itu apabila kereta BMW dinaiki empat doktor pelatih Hospital Likas dikatakan merempuh belakang bas terbabit yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kepayan dekat sini.

Difahamkan, laluan tersebut merupakan jalan sehala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan bas berkenaan terpusing lalu terbabas manakala kereta BMW itu terbalik beberapa kali.

Katanya, mereka yang terbunuh ialah Pram Saspigam , 26, berasal dari Kuala Lumpur; P. Babani Phary, 26, dari Terengganu dan Wong Wai Choong, 28, (Kuala Lumpur).

"Penumpang bas yang maut ialah Baharod Gemalyn berasal dari Filipina," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seorang lagi doktor pelatih yang cedera parah dalam kemalangan itu tidak dikenal pasti identitinya.

Menurut Ahmad Sofi, pemandu dan dua penumpang kereta BMW itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang bas terbabit mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata, mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dekat sini untuk menerima rawatan.

Katanya, mayat mangsa akan dibawa pulang oleh keluarga masing-masing selewat-lewatnya esok.

Menurut Ahmad Sofi lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis sedang mencari saksi kemalangan berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Inspektor Mohd. Hafis Lokman di talian 088-310273.

Tiada ulasan: