Rabu, 3 Februari 2010

3 pemimpin PKR diberi notis rujuk lembaga disiplin

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR,— Tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diputuskan untuk dirujuk kepada lembaga disiplin telah dimaklumkan secara rasmi keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), semalam.

“Pada 1 Feb (semalam) bertolak daripada keputusan Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, saya telah menghantar surat kepada beberapa individu pimpinan PKR berhubung keputusan merujuk mereka kepada lembaga disiplin Parti.

“Salinan surat juga dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin,” kata Setiausaha Agung PKR yang baru Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu beliau berkata individu terbabit diminta memberikan kerjasama membantu proses siasatan dan parti memberi jaminan mereka akan diberi ruang untuk menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun dalam kenyataan dikeluarkan Saifuddin tidak menyebut nama individu terbabit.

Kelmarin MPP memutuskan untuk merujuk Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan anggota MPP Datuk Zaid Ibrahim kepada lembaga disiplin.

Minggu lalu tindakan yang sama dikenakan ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.

Zahrain ketika ditemui The Malaysian Insider juga mengesahkan sudah dimaklumkan menerusi emel semalam.

“Saya sudah terima makluman daripada sekretariat PKR dan saya diminta berikan kerjasama,” katanya.

Saifuddin menambah, PKR bertekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti yang melakukan salah laku disiplin.

“Tindakan ini diambil tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan.

“Justeru amalan disiplin yang kuat sahaja bakal menentukan parti terus kuat.

“PKR ujud sebagai sebuah parti yang mendokong 17 prinsip perjuangan yang terakam dalam Perlembagaan Parti. Prinsip ini akan terus menjadi ikatan kukuh membina parti,” kata beliau.

Saifuddin berkata, Pakatan Rakyat juga diikat dengan Dasar Pakatan Rakyat yang terhasil dari Konvensyen Pakatan Rakyat pada Dis lalu.

“Saya ingin mengulangi adalah menjadi tanggungjawab dan tugas setiap pemimpin dan anggota parti untuk mendokong, mempertahan dan mengembangkan nilai-nilai dan prinsip perjuangan PKR dan perkara-perkara yang disepakati dalam Dasar Pakatan Rakyat.

“Sesungguhnya agenda reformasi parti adalah jauh lebih penting dipertahankan daripada memperjuangan faedah dan keuntungan yang bersifat sementara,” katanya.M/I

Tiada ulasan: