Isnin, 8 Februari 2010

26 ditahan Jaip dalam Ops Taubat

SINAR HARIAN ONLINE


KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan 26 pengunjung pusat hiburan berusia antara 20 hingga 55 tahun dalam serbuan Ops Taubat, malam semalam.

Ketua Penguat kuasa Agama Jaip, Ahmad Rafli Abdul Malik berkata, daripada jumlah: itu, 15 ditahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987), manakala 11 lagi ditahan di bawah Seksyen 145 dalam akta sama.

Menurutnya, operasi serentak yang bermula jam 12.30 malam itu membabitkan tiga pusat hiburan di Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail dan Jalan Padang Lalang.

“Tumpuan Jaip ialah kesalahan minum minuman memabukkan di tempat awam selain memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa pusat hiburan seperti itu bukan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengunjung bukan saja penduduk tempatan, tetapi dari Terengganu dan Kuala Lumpur.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 136 dilepaskan dengan jamin RM3,000 dengan dua penjamin manakala bagi kesalahan khalwat dikenakan jamin RM1,000 seorang penjamin.

Ahmad Rafli menasihatkan pengunjung beragama Islam supaya tidak mengunjungi pusat hiburan kerana tempat itu haram di sisi Islam.

“Kebanyakan dari mereka beralasan mahu enjoy dan ada juga yang meraikan hari jadi rakan. Ada juga yang mengikut kawan dan sekadar mahu mencuba walhal ia adalah tempat yang boleh menjurus kepada maksiat.

“Sebenarnya, masih ada aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk berhibur malah mereka yang sudah berkeluarga juga boleh menghabiskan masa bersama keluarga pada waktu malam,” katanya.

Tiada ulasan: