Selasa, 16 Februari 2010

14 maut dalam nahas jalan raya semalam

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Hari kesembilan Ops Sikap ke-21 semalam mencatatkan 14 lagi kematian dengan penunggang dan pembonceng motosikal mangsa korban teramai apabila menyumbang kepada 11 kes di seluruh negara.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata, tiga kematian lagi membabitkan pengguna kereta dan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 136 orang.

"Lima kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, empat di jalan negeri, tiga di jalan bandaran dan satu di lebuh raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 302 kes diikuti jalan persekutuan (294 kes), jalan negeri (170 kes), lebuh raya (71 kes) dan jalan-jalan lain (48 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 885 kes.

Katanya, dalam operasi semalam, sebanyak 13,014 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lalu sempena Tahun Baru Cina akan berakhir pada 21 Februari depan.

Tiada ulasan: