Khamis, 11 Februari 2010

1,315 sertai Pertandingan Menulis Surat kepada PM

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Harapan untuk keamanan dan perpaduan kaum adalah antara isi hati yang diluahkan 1,315 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong (SMKBJ) di sini yang menyertai Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri anjuran bersama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berakhir 19 Februari ini.

Penyertaan itu menjadikan SMKBJ sekolah pertama di Selangor dan Malaysia yang setakat ini menghantar penyertaan paling banyak ke pertandingan yang bermula pada 29 Disember lalu, bertujuan menjadikan penulisan surat sebagai medium berkomunikasi dengan pemimpin negara.

Surat berkenaan diterima Pengurus Negeri Pos Malaysia Selangor, Wan Sharpudin Wan Ramli, untuk diserahkan kepada SKMM semalam.

Majlis ringkas yang diadakan di pekarangan sekolah itu semalam, turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Bajuri Abdullah.

Enam surat terbaik akan memenangi hadiah wang tunai, kamera digital, baucar pembelian buku dan koleksi setem, manakala dua pemenang teratas masing-masing menerima sebuah komputer riba sebagai hadiah utama di samping hadiah iringan.

Wan Sharpudin berkata, pertandingan menulis surat untuk Perdana Menteri itu membolehkan peserta menulis dengan bebas untuk meluahkan pendapat, harapan, cita-cita, kekurangan serta kelemahan yang ada dari pelbagai sudut, selain menyarankan idea bernas dan praktikal untuk memperbaiki kelemahan kepada pemimpin negara.

Beliau berkata, gagasan 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan di kalangan semua kaum perlu dipupuk di peringkat akar umbi kerana generasi muda adalah pewaris kepemimpinan negara untuk meneruskan kesinambungan perpaduan yang wujud sejak sekian lama di Malaysia.

"Kita ingin melihat sejauh mana takrifan atau pendapat generasi muda mengenai gagasan 1Malaysia melalui pelbagai aspek kehidupan sosiobudaya, politik dan ekonomi rakyat.

"Pos Malaysia akan memainkan peranan terbaik bagi merealisasikan impian 1,315 pelajar sekolah ini, yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen dengan menyertai pertandingan ini," katanya.

Wan Sharpudin berkata, pihaknya juga menggalakkan lebih banyak penyertaan selepas ini, malah Pos Malaysia Selangor sedia ke sekolah lain sebagai tanda sokongan terhadap sekolah yang proaktif bagi menyertai pertandingan penulisan itu.

Beliau berkata, setiap penyertaan yang diserahkan kepada Pos Malaysia itu tidak menggunakan setem dan penghantaran terus melalui SKMM akan terus dilakukan pada hari penyerahan surat itu sebagai tindak balas positif dan komitmen Pos Malaysia kepada impian dan harapan masyarakat.

Sementara itu, Pengetua SMKBJ, Datin Aisah Jaman, berkata pihaknya mengambil masa dua minggu untuk mengumpul penyertaan dengan kerjasama Panatia Bahasa Melayu dan juga Panitia Sivik dan Kewarganegaraan sekolah itu.

Pelajar Tingkatan Empat, Muhd Danial Asyraf Abdullah, 16, berkata pertandingan itu memberi peluang generasi muda meluahkan pandangan untuk memperkukuhkan perpaduan antara kaum serta menghalang peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Tiada ulasan: