Ahad, 21 Februari 2010

11 lagi kematian dicatatkan hari ke-13 Ops Sikap

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Statistik Ops Sikap ke-21 sempena Tahun Baru Cina yang memasuki hari ke-13 semalam, kembali menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 11 kes kematian dalam tempoh 24 jam.Angka itu menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding kelmarin yang mencatatkan empat kematian.

Seperti statistik terdahulu, penunggang dan pembonceng motosikal kekal mendahului senarai angka korban iaitu enam mangsa.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, empat kematian membabitkan pengguna kereta dan seorang lagi, pemandu lori.

Beliau berkata, korban terbaru itu menjadikan angka kematian kini meningkat kepada 183 orang sejak operasi itu dilancarkan pada 7 Februari lalu.

"Kemalangan paling tinggi dilaporkan berlaku jalan bandaran iaitu 379 kes diikuti jalan Persekutuan (170 kes), jalan negeri (156 kes), lebuh raya (51 kes) dan jalan-jalan lain (50 kes)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, daripada 11 kemalangan maut, empat kes dilaporkan berlaku di jalan negeri, tiga di jalan Persekutuan, dua di lebuh raya dan masing-masing satu kes di jalan bandaran serta jalan-jalan lain.

Meskipun angka kematian mencatatkan peningkatan, beliau berkata, operasi hari ke-13 semalam, menunjukkan penurunan jumlah saman yang dikeluarkan.

Dalam tempoh itu, katanya, sebanyak 10,034 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya berbanding 12,917 saman dicatatkan sebelumnya.

Ops Sikap ke-21 akan berakhir esok.

Tiada ulasan: