Sabtu, 13 Februari 2010

10 maut hari keenam Ops Sikap 21

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sepuluh lagi kematian dicatat pada hari keenam Ops Sikap ke-21 semalam menjadikan jumlah mangsa yang terkorban sejak Ops sikap itu dilancarkan pada 7 Februari lalu sehingga semalam adalah 52 orang.

Daripada sepuluh kematian yang dicatatkan semalam tujuh membabitkan pengguna motosikal.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, berkata tiga lagi kematian masing-masing membabitkan pengguna kereta, kenderaan pacuan empat roda dan pejalan kaki.

Tiga kemalangan maut berlaku di Jalan Persekutuan, masing-masing dua di lebuh raya, jalan negeri dan jalan-jalan lain serta satu di jalan bandaran, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 1,127 kemalangan yang dicatat pada hari keenam Ops Sikap itu yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina, 478 kemalangan berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (291), jalan negeri (193), lebuh raya (113) dan jalan-jalan lain (52).

Sebanyak 10,444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Tiada ulasan: