Selasa, 26 Januari 2010

Zulkifli Diarah Tidak Keluarkan Kenyataan Media

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Zulkifli Noordin diarah supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media sehingga kesnya selesai disiasat oleh lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keputusan untuk merujuk konflik antara Zulkifli dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ke lembaga disiplin parti diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik parti itu hari ini.

Setiausaha Agung PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika membaca kenyataan berhubung hasil mesyuarat berkenaan berkata, PKR memandang berat tindakan Zulkifli memfailkan saman terhadap Khalid berhubung dakwaan menghina Islam.

"Biro Politik bersetuju untuk merujuk kes ini kepada lembaga disilin parti untuk bersidang secepat mungkin dalam tempoh kurang daripada satu bulan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau lagi jika didapati bersalah, Zulkifli boleh dikenakan tindakan sama ada diberi amaran, gantung keahlian ataupun dipecat keahlian.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan kekesalannya terhadap tindakan Ahli Parlimen terbabit.

"Kami kesal dengan tindakannya itu, tapi tindakannya telah membelakangkan parti," katanya.

Tiada ulasan: