Sabtu, 16 Januari 2010

Zon Bersih Realisasi ‘Selangor Selamat dan Bersih’

TV SELANGOR


Kawasan Perlabuhan Klang dikenalpasti sebagai zon kurang memuaskan dari segi tahap kebersihan dan akan dinaiktaraf sebagai Kawasan Bersih.

Program naiktaraf itu merupakan inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam usaha merealisasikan congankata 'Selangor Selamat dan Bersih'.

Sehubungan itu, kawasan yang kurang memuaskan tahap kebersihannya akan dinamakan sebagai Zon Bersih bagi memudahkan PBT meningkatkan kebersihan di kawasan itu dengan mengadakan kegiatan gotong-royong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyambut baik kempen ini menggesa pihak bertanggungjawab supaya sentiasa turun padang memastikan kualiti kebersihan kawasan ini sentiasa pada kedudukan tertinggi.

"Tanggungjawab tentukan kebersihan adalah Ahli Majlis kawasan ini(Perlabuhan Klang). Sekurang- kurangnya dalam seminggu dia guna 2 jam untuk lawat kawasan ini. Kalau tidak ada susulan, maknanya ini hanya upacara tahunan, main- main saja. Kebersihan bukan mainan, ia adalah tanggungjawab," kata Khalid.

"Kita sudah buat perubahan dalam tahun 2010 ini. Apa yang kita cakap kita buat," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kempen 'Indahkan Klang' yang dianjurkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat Panasonic Sdn Bhd sempena pelancaran MPK CLEAN ZONE 2010 hari ini.

Dalam pada itu, Kumpulan Syarikat Panasonic bakal menyumbang 50 buah tong sampah bernilai hampir RM10 ribu bagi menggalakkan warga Perlabuhan Klang mengamalkan gaya hidup bersih.

Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Berangan, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Tengku Bandar, Jalan Sekolah, Jalan Beringin, Jalan Cungah dan Jalan Kem.

Tahun 2010 merupakan tahun ke-2 syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan MPK untuk menjayakan kempen berkenaan.

Kempen mendidik sosial ini disertai kira- kira 700 peserta yang terdiri daripada Kumpulan Panasonic, Majlis Bandaraya Klang, RELA, Pasukan Polis dan penduduk Perlabuhan Klang.

Tiada ulasan: