Sabtu, 2 Januari 2010

Zambry mahu saman Suara Keadilan

UTUSAN ONLINE


LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan iaitu akhbar milik pembangkang kerana menyebarkan fitnah keterlaluan terhadap dirinya.

Sambil menyifatkan laporan akhbar tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan melakukan pembohongan, beliau telah mengarahkan para peguamnya mengambil tindakan tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

''Laporan itu benar-benar tidak bertanggungjawab dan satu pembohongan besar kerana tiada kejadian saya ditahan di Amerika Syarikat (AS) seperti dilaporkan oleh mereka (Suara Keadilan).

''Cara terbaik adalah dengan berjumpa di mahkamah kerana tuduhan yang dilemparkan kepada saya itu terlalu liar, teruk dan kotor sifatnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan beg dan baju sekolah kepada anak-anak miskin bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor hari ini.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata, beliau perlu bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut kerana bimbang dakwaan dilakukan akhbar terbabit akan dianggap sebagai berita yang benar oleh rakyat.

Suara Keadilan sebelum ini melaporkan, Zambry ditahan di lapangan terbang San Francisco, AS sebelum dihantar pulang ke Malaysia kerana namanya tersenarai sebagai pengganas ketika mengetuai misi pelaburan di negara itu baru-baru ini.

Menurut Zambry, beliau tidak mahu lagi kesabarannya selama ini diambil kesempatan oleh pihak lawan untuk mengatakan perkara yang tidak benar.

Tiada ulasan: