Jumaat, 22 Januari 2010

Sesiapa Pun CEO Petronas, Royalti Mesti Di Bayar


KUALA TERENGGANU – Menjadi kebiasaan kepada Malaysia apabila terdapat pertukaran Perdana Menteri, maka akan berlaku pertukaran dalam syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan.

Oleh itu, PAS memandang dalam isu pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, sebagaimana yang diperkatakan masakini, Hassan Merican, CEO Petronas sedia ada sudah boleh diharapkan.

”Biasalah apabila Perdana Menteri baru, Menteri-menteri baru, dia (kerajaan) akan tukarlah pegawai-pegawai,

”Tapi, yang kita (PAS) tahu, boleh tahan dah, Hassan Merican (CEO Petronas sedia ada) boleh tahan dah, dia pun dah jawab, tanya kerajaan (berkenaan dengan perlantikan CEO baru),”kata Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, Jawatankuasa PAS Pusat, dalam satu sidang media di pejabat PAS Terengganu disini.

Walau bagaimana pun, kata Dato’ Abu Bakar, sesiapa pun jua yang akan menjadi CEO Petronas, wang royalti Petroleum kepada negeri Terengganu dan Kelantan mesti dijelaskan.

Beliau sebelumnya berkata kerajaan perlu mewujudkan satu dasar yang tetap berkaitan pendidikan Negara serta prihatin tentang kebajikan pendokong sektor pendidikan seperti guru-guru.

Katanya, kerajaan telah melalui pengalaman yang panjang dan pelbagai laporan telah dikemukakan oleh pelbagai suruhanjaya, namun, sebagai contoh dasar PPSMI, kerajaan tidak mengambil semua pengalaman dan laporan tersebut sebagai panduan.

”Jadi kerajaan kena buat sesuatu sekarang, bentukkan satu suruhanjaya khas atau suruhanjaya di raja yang menilai semula keberkesanan dan mengembalikan pendidikan kepada dasar yang sebenar,”kata Dato’ Abu Bakar yang juga Pengrusi Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS Pusat.

Beliau turut bimbang dengan pemotongan elaun perumahan dan elaun sara hidup (COLA) sebagaimana yang ditimbulkan sekarang adalah tidak patut dan akan menganggu perkembangan pendidikan Negara.

”Itu banyak pemotongan tersebut amat berat, kerana kos sara hidup sekarang bukan semakin berkurang tetapi semakin meningkat,”katanya.

Tiada ulasan: