Khamis, 7 Januari 2010

UMNO / BN mengabaikan peserta PPRT


http://buletinonline.net/images/stories/berita18/TKPMRhuTapaiKakEsah.jpg

Pendahuluan

Negeri Terengganu Darul Iman sering mendapat jolokan ”negeri kaya, rakyat miskin”. Jolokan tersebut disandarkan kepada rakyat negeri Terengganu yang merupakan yang kedua termiskin selepas Sabah. Ini ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi seperti yang pernah didedahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Adzlan Mohd. Dagang semasa pelancaran ECER di Terengganu 2 tahun yang lalu.

(Gambar - Peserta PPRT TKPM Rhu Tapai, Esah Draman dan tanaman tembakaunya, )

Mengikut laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Oktober 2006, jumlah keluarga miskin tegar di Terengganu seramai 8,300. Sesuatu yang malang bagi rakyat Terengganu walaupun diletakkan dalam kategori miskin, tetapi kerajaan Negeri tetap melaksanakan projek-projek mewah yang tidak banyak menguntungkan rakyat secara langsung. Antara yang sering disebut adalah Pertandingan Kapal Layar Monsoon Cup dan pembinaan Masjid Kristal.

Antara perancangan kerajaan yang dikatakan mahu menghapuskan kemiskinan adalah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Namun, projek ini kebanyakannya sekadar melepas batuk di tangga. Salah satu PPRT terbesar di Terengganu adalah PPRT di Lembah Bidong dengan 200 unit rumah. Kedudukan PPRT ini bersebelahan dengan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas 1400 ekar.

Kemiskinan di Terengganu terus kekal dan masih mencengkam rakyat. Ini secara jelas dapat dilihat dan dirasai apabila tibanya musim tengkujuh dan hujan di hujung tahun. Nelayan tidak dapat turun ke laut, penoreh getah tidak dapat menoreh. Penganjuran Monsoon Cup yang kononnya diadakan bagi menambah pendapat para nelayan yang tidak turun ke laut adalah bohong dan kata-kata kosong semata-mata.

PPRT yang diabaikan

Kawasan PPRT terbabit mula dibuka pada tahun 1994. Sehingga sekarang sudah menjangkau usia 15 tahun. Setiap peserta dibekalkan sebuah rumah di atas tanah kira-kira suku ekar (¼ ekar) dan 2 ekar tanah pertanian. Keseluruhan adalah 400 ekar tanah pertanian.

Apa yang malang adalah, kedudukan mereka tidak berubah ke arah yang lebih baik. Malah, kini kira-kira 100 peserta sahaja yang masih kekal bertahan menetap di situ. Sebahagian yang lain sudah keluar kerana kurang sumber pendapatan dan tidak mampu bertahan di situ.

Walaupun sudah menjangkau tempoh 15 tahun, tiada perubahan besar yang berlaku ke atas mereka. Kedudukan mereka tidak berubah ke arah yang lebih baik. Malah banyak antara rumah-rumah peserta ini yang sudah rosak teruk dan tidak layak didiami. Hanya terdapat 2 buah rumah agak baik yang mana pemiliknya mendapat projek e-tani.

Pada keseluruhannya tanaman roselle telah gagal dan tanaman tembakau terus menurun, tetapi kerajaan mengambil sikap lepas tangan dan tiada tindakan dan perancangan yang bersepadu untuk membela dan menyusun semula projek dan aktiviti peserta PPRT ini.

Status Tanah

15 tahun merupakan suatu tempoh masa yang agak lama. Bagaimanapun, status tanah rumah kediaman mereka masih tanah kerajaan dan belum diserahkan kepada mereka. Hal yang sama juga berlaku kepada tanah pertanian yang mereka usahakan. Malah, ada sebahagian tanah yang mereka usahakan sudah diserahkan kepada syarikat luar.

Apa yang sepatutnya berlaku adalah, tanah dan rumah PPRT terbabit diserahkan kepada peserta untuk dimiliki tetapi sampai sekarang status tanah tol pun belum mereka perolehi

Pekerjaan

Secara khususnya, projek pertanian Lembah Bidong ini gagal untuk mencapai matlamat memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat yang miskin. Ini dapat dilihat dari kegagalan projek-projek terbabit.

Tanaman Roselle yang diusahakan peserta yang dulunya seramai 60 peserta, kini hanya tinggal 25 peserta sahaja. Tanaman tembakau pula kini hanya 52 peserta dari 87 peserta asal. Manakala peserta di kalangan belia pula kini hanya tinggal 3 peserta dari jumlah asal seramai 13 peserta.

Sebahagian besar dari peserta-peserta ini keluar dari projek pertanian ini adalah kerana kegagalan projek ini. Lebih malang lagi adalah tiada satu lawatan khusus dari MB mahupun Exco terbabit ke atas peserta dan projek pertanian ini, malah tiada agensi yang sepatutnya juga membimbing mereka.

Semasa Terengganu di bawah Pemerintahan PAS, 13 peserta belia tani dibawa masuk dengan menjanjikan peluang menjadi usahawan kepada mereka dengan melaksanakan Projek Integrasi Tani. Sebahagian dari mereka telah mula menunjukkan kejayaan.

Apa yang menyedihkan adalah, apabila BN mengambil alih pemerintahan, para belia ini dikeluarkan dari penempatan dengan alasan mereka sudah berjaya dan tidak lagi layak berada di situ. Ketika itu peserta-peserta ini berjaya mendapat pendapatan kira-kira RM 2000 sebulan. Alasan itu dilihat bercanggah apabila syarikat-syarikat swasta dibawa masuk untuk mengusahakan tanah pertanian dan mewujudkan usahawan tani moden.


Bacaan berkaitan; berita yang pernah dipaparkan Buletinonline pada Sabtu, 25 Fenruari, 2008

Dua hari menjelang penamaan calon, UMNO belanja RM2.5 juta satu DUN, anak Kak Esah tak ke sekolah


Permaisuri, 21 Feb - UMNO/BN sedikit berkecamuk, ekoran dari Deris mengisytihakan calon-calon yang tidak dikenali dan tidak diingini oleh ‘akar umbi’. Meskipun begitu, perbelanjaan pilihanraya bagi setiap Dewan Undangan Negeri(DUN) UMNO/BN telah ditetapkan.

Setiap DUN telah ditetapkan ‘duit poket’ masing-masing untuk dibelanjakan sepanjang kempen 13 hari. Masing-masing akan membelanjakan peruntukan yang entah datang dari mana sebanyak RM2.5 juta setiap DUN.

Seluruh Terengganu mempunyai 32 buah DUN. Dengan itu bermakna bahawa UMNO/BN Terengganu akan menghabiskan kewangan sebanyak RM80 juta bagi seluruh negeri. Percaya atau tidak bukan menjadi soalnya.

Sebagaimana yang kita lihat, pembangunan di Pulau Duyong dan Pulau Wan Man, semuanya yang dibelanjakan sudah hampir menelan RM 1 bilion. Begitu jugalah perihal peruntukan kewangan yang telah ditetapkan untuk diagih-agihkan ke setiap DUN UMNO.

Negeri Terengganu yang mendapat ‘sedeqah’ sebanyak RM 2.3 bilion dari kerajaan Pusat pada tahun 2005 dan 2006. Ramai yang berkata apabila melihat akaun kewangan kerajaan Terengganu, berapa banyak agaknya RM 2 bilion? Isshh… RM 2 bilion bukannya sikit !

Namun dicelah-celah kemewahan kerajaan Deris Jusoh yang suka menyohor dengan pelbagai gelaran dunia, itu dunia dan ini dunia, Buletin Online amat tersentuh apabila secara tidak dirancang melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan(TKPM) di Rhu Tapai, Setiu.

Melihat keadaan aktiviti pertanian disitu dan keadaan hidup para peserta yang kebanyakkannya adalah golongan rakyat termiskin(PPRT), hati siapa pun yang mendengar keluhan peserta PPRT tersebut pasti akan tersentuh.

Esah bt Deraman, 54 dan Che Kamarah bt Mohd 49 adalah antara 22 peserta PPRT, di TKPM Rhu Tapai. Asal penglibatan mereka adalah pada 13 tahun yang lalu. Mereka dimasukkan ke TKPM melalui projek penanaman Roselle.(Foto: Kak Esah )

Namun kini, Roselle tidak lagi ditanam di TKPM, malah hampir tidak ada makanan yang dikeluarkan melalui Taman Kekal Pengeluaran Makanan itu. Apabila Roselle tidak lagi diusahakan, peserta PPRT tidak ada pilihan lain kecuali menerima tawaran untu menanam tembakau dengan sedikit kemudahan oleh syarikat tembakau antarabangsa. Walaupun begitu, sebenarnya bantuan yang berikan hanyalah baja dan racun yang bernilai kira-kira RM400.00.

Esah Bt Deraman mempunyai 12 orang anak. Suaminya, Abd Razak Mamat tidak mampu lagi bekerja kerana diserang pelbagai penyakit. Kesempitan hidup menyebabkan Esah tidak mampu untuk menyekolahkan kesemuanya 12 orang anaknya.

Akibatnya dua orang anak Kak Esah kini menjadi kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan sempurna, didalam sebuah negeri yang meletakkan visi ‘Ke arah Melahirkan Generasi Ulul-Albab’ dan pelbagai pembangunan yang tidak pernah dilihat!

Sedangkan UMNO yang memerintah negeri membelanjakan RM80 juta untuk 13 hari pilihanraya dan RM 1 bilion hangus ditelan ‘Monsoon’ dan ‘Kristal' .

Tiada ulasan: