Ahad, 17 Januari 2010

“Tunjuk muka jika ada dalam negara”

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin digesa tampil menunjukkan diri jika benar dakwaannya mengatakan beliau berada di dalam negara ini melalui laman laman webnya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sekiranya benar Raja Petra berada di dalam negara ini, dia hendaklah menyerah diri berikutan bersangkut dengan dua waran tangkap yang dikenakan.

“Kalau betul dia (Raja Petra) di Malaysia, tunjukkan muka... kalau tak bersalah dia tak perlu takut.

“Dia cakap dia bukan di luar negara, itu dia yang cakap sebab siasatan kita selama ini kita percaya dia berada di luar negara dan keluar menggunakan dokumen haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Raja Petra di laman webnya susulan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan polis sejak hampir 9 bulan lalu kini berada di London.

“Apa yang saya boleh maklumkan di sini, kita masih percaya dia berada di luar negara dan kita masih menyiasatnya termasuklah menggunakan bantuan polis Interpol,” katanya.

Dalam kenyataan terbaru Raja Petra di dalam laman webnya, beliau mendakwa pihak polis masih gagal membuktikan bahawa beliau berada di luar mahupun di dalam negara.

“Kamu (Musa) anggap saya keluar Malaysia dan masuk negara lain secara haram atau menggunakan pasport asing walaupun sebenarnya kamu tidak tahu.

“Ini bermaksud, kamu pun tidak tahu sama ada saya masih berada di dalam negara kerana kamu gagal mengesan bukti bahawa saya masih tidak berada di dalam negara,” katanya.

Akhbar pada 20 Disember lalu melaporkan bahawa Raja Petra dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Dalam kenyataan sebelum ini, Raja Petra mendakwa dia kini berada di Poland menyambut sambutan Tahun Baru bersama beberapa wanita asing.

Tiada ulasan: