Sabtu, 2 Januari 2010

Tindakan tegas jika pemimpin AMK Kelantan terbabit dadah

BERITA HARIAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengenakan tindakan tegas ke atas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Azmi Ismail, jika terbukti bersalah terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya tidak akan mempertahankan serta campur tangan siasatan polis dalam kes itu, serta mahu siasatan dijalankan secara profesional.

"Jika benar dia melakukan jenayah, kita tidak akan campur tangan atau mempertahankan.

"Walaupun sebelum ini kami sering mempertikaikan polis, kami perlu akur dengan undang-undang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Peralatan Sekolah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.

Pada 23 Disember lalu, Azmi, 38, yang juga Ketua Cabang PKR Pengkalan Chepa, ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

Diminta mengulas bentuk tindakan yang bakal diambil, Anwar berkata, pihaknya belum memikirkan perkara itu dan masih menunggu maklumat lanjut.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pelantikan Mohd Salleh sebagai Timbalan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) bukan menjadi isu lagi walaupun di peringkat awal dijanjikan jawatan YDP.

"Semua pihak dapat menerimanya. Kita akui pada peringkat awal ada sedikit masalah tetapi selepas ia diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semua selesai," katanya.

Kelmarin, kerajaan negeri mengumumkan pelantikan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria, sebagai YDP Maipp.

Sebelum ini, kerajaan negeri setuju melantik Mohd Salleh sebagai YDP bagi menggantikan Shabudin Yahaya yang tamat tauliah perkhidmatannya kelmarin.

Tiada ulasan: