Selasa, 12 Januari 2010

Temu janji klinik guna SMS

BERNAMA


JOHOR BAHRU - Pesakit bakal menikmati perkhidmatan kaunter yang lebih cekap di klinik pesakit luar milik kerajaan dengan pengenalan Sistem Peringatan Temu Janji dan Pengurusan Menunggu (QMARS).

Melalui penyelesaian berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibangunkan oleh Celcom Axiata Berhad, mereka yang telah berdaftar dan memberikan nombor telefon bimbit mereka di klinik berkenaan, akan diberitahu mengenai giliran mereka bagi temu janji dengan doktor atau menerima peringatan mengenai temu janji yang telah dijadualkan atau mengambil ubat mereka.

Sistem itu dijangka akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di bahagian menunggu, barisan panjang, pembaziran masa dan juga mengurangkan jumlah pesakit yang tidak datang untuk temu janji mereka pada setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menghadiri taklimat mengenai projek perintis itu di Klinik Pesakit Luar Mahmoodiah di sini, semalam berkata, pesakit berpendapat ia lebih baik dan memberikan maklum balas positif terhadap sistem itu.

“Selepas mendaftar, pesakit boleh pergi ke tempat lain dan datang semula ke klinik selepas menerima SMS yang memberi peringatan mengenai giliran mereka berjumpa dengan doktor,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang memantau keberkesanan sistem itu, khususnya untuk mengetahui sama ada sistem itu dapat mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Sistem itu yang masih di peringkat percubaan akan dilanjutkan ke beberapa lagi klinik untuk melihat rangkaiannya dengan ibu pejabat kementerian yang akan membolehkannya menerima maklumat pada waktu sebenar dan memberikan arahan kepada klinik berkenaan.

“Kami akan melancarkan sistem ini di seluruh negara jika sistem ini menunjukkan hasil memuaskan,” katanya.

Mengenai kos sistem itu dan pihak yang akan menanggung kos SMS itu, beliau berkata perkara itu masih belum dibincangkan dengan Celcom.

Tiada ulasan: