Khamis, 14 Januari 2010

Tembakau ‘pan parag’ jadi kegilaan remaja

SINAR HARIAN ONLINE


PETALING JAYA - Tembakau jenis 'pan parag' yang dijual di sekitar Lembah Klang dikatakan menjadi medium terbaru pelajar sekolah menengah khususnya untuk melepaskan gian sehingga menyebabkan ketagihan.

Tembakau ini secara kasarnya sama dan tiada beza dengan tembakau biasa namun setelah mengunyahnya, seseorang itu boleh khayal selama 24 jam.

Ia menjadi pilihan popular di kalangan golongan remaja berikutan bekalannya mudah diperolehi di pasar malam dan kedai runcit selain harganya serendah 70 sen sepeket.

Lebih mengejutkan, tembakau ini dijual secara berleluasa antaranya di sekitar Sri Muda, Shah Alam, Masjid India, Jalan Chow Kit dan Jalan Pasar.

Pendedahan tersebut dibuat Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA) dalam satu kajian yang dilakukan sejak November tahun lalu bagi membanteras gejala keruntuhan moral di kalangan remaja.

Presidennya, Ravi Ponnan berkata, tembakau tersebut berasal dari India dan jadi kegemaran warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

““Pakar perubatan India juga memboikot selepas kajian mendapati tembakau jenis ini bu:kan sekadar mendatangkan ketagihan, bahkan mampu menyebabkan kanser,” katanya.

Dalam pada itu Ravi berkata, hasil kajiannya juga berjaya mendedahkan wanita warga China yang membawa beg galas menjual air perangsang seks di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Petaling.

“Biasanya ia digunakan oleh penjenayah dengan menitiskan cecair itu ke dalam minuman dan sejurus meminumnya, mereka akan khayal serta nafsu seks mereka melonjak,” katanya.

Menurutnya, wanita China terbabit memasuki Malaysia sebagai pelancong dan mengambil kesempatan itu berniaga dengan menjual ubat itu pada harga RM35 sebotol.

Katanya, sehubungan itu, MCPA telah menghantar 10 memorandum berhubung kajian tersebut antaranya kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan masa depan generasi muda di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: