Khamis, 14 Januari 2010

Telefon bimbit penyebab risiko tumor otak?



S.M. Mohamed Idris menunjukkan beberapa label tanda amaran kanser yang dilekatkan di telefon bimbit pada sidang media di pejabatnya di Pulau Pinang, semalam.

UTUSAN ONLINE

PULAU PINANG - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mewajibkan pengeluar telefon bimbit meletakkan tanda amaran tentang risiko menghidap tumor otak apabila menggunakan alat telekomunikasi itu.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, kajian terkini oleh Profesor Lennart Hardell dari Hospital Universiti Orebro, Sweden mendapati penggunaan telefon bimbit secara berterusan selama lebih 10 tahun mampu meningkatkan risiko terhadap penyakit itu.

Berdasarkan kajian berkenaan katanya, bagi setiap 100 jam penggunaan telefon bimbit, penyakit tersebut meningkat sebanyak lima peratus.

''Bagi setiap tahun penggunaan telefon bimbit, risikonya meningkat sebanyak lapan peratus dan selepas 10 tahun terdapat kira-kira 280 peratus tumor otak.

''Kajian juga mendapati golongan muda lima kali lebih cenderung mendapat tumor otak jika mereka menggunakan telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kanak-kanak juga mudah mendapat mudarat akibat radiasi telefon bimbit kerana otak dan sistem saraf mereka masih berkembang ditambah keadaan tengkorak yang nipis.

Tambahnya, kajian Hardell juga menunjukkan mereka yang menggunakan telefon bimbit ketika usia muda didapati lima kali lebih cenderung mendapat akustik neuroma yang boleh menyebabkan pekak.

Selain itu, S.M. Mohamed memberitahu, kajian tersebut turut membayangkan terdapat peningkatan kes kanser, manakala satu projek yang disokong Kesatuan Eropah pula menunjukkan bukti kerosakan sel.

''Telefon bimbit juga dikesan boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan lain antaranya penurunan bilangan sperma, gangguan daya ingatan, tulang lemah, gejala elektro sensitif seperti sakit kepala dan tekanan perasaan," ujarnya.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan mengeluarkan amaran kepada semua ibu bapa supaya melarang anak-anak mereka di bawah usia 12 tahun daripada menggunakan telefon bimbit.

Tiada ulasan: