Khamis, 7 Januari 2010

Suspek Utama Kes Bunuh Empat Sekeluarga Ditahan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan empat sekeluarga di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam ditahan polis di ibu negara hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek itu ditahan berhampiran Jalan Masjid India kira-kira jam 5 petang semalam oleh sepasukan polis.

"Polis turut menemui sebilah pisau bersama mangsa, bagaimanapun kita masih menyiasat sama ada pisau tersebut digunakan untuk membunuh mangsa atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam mangsa, Atan Daud, 90, yang merupakan bekas imam masjid kampung berkenaan, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu, Ismail Awang, 76, dan cucu mereka Siti Khadijah Ismail, 22, dibunuh dengan kejam dan mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan.

Mayat Atan, Sutiah dan Ismail ditemui oleh adik Siti Khadijah yang baru pulang dari sekolah dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah bekas imam itu manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu rumah bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, suspek merupakan cucu kepada Atan dan abang kepada Siti Khadijah yang melarikan diri selepas kejadian itu.

"Difahamkan suspek tinggal di Kuala Lumpur tetapi kita tidak tahu di kawasan mana. Hasil maklumat daripada penduduk, polis menemui motosikal suspek kira-kira jam 2 pagi tadi berhampiran Balai Bomba Tampin," katanya ketika dihubungi.

Osman berkata, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan beliau telah mengarahkan anggotanya untuk membawa balik suspek Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan.

Di Tampin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, suspek ditahan selepas cuba menyerang seorang anggota polis di stesen LRT berhampiran kawasan itu dengan senjata tajam.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya diberitahu oleh rakan setugas di Kuala Lumpur bahawa suspek cuba menyerang polis terbabit dengan pisau tetapi berjaya ditahan," katanya kepada pemberita di IPD Tampin, semalam.

Katanya, satu pasukan polis dari negeri itu akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk membawa suspek pulang bagi mendapatkan perintah reman selama tujuh hari.

Zaki berkata, siasatan awal polis menunjukkan lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau penyalahgunaan dadah dan polis akan menyiasat sama ada lelaki itu ada terlibat dalam ajaran sesat.

Beberapa orang ahli keluarga yang ditemui berkata, suspek yang merupakan anak keempat daripada lapan adik beradik memang diketahui ada tekanan perasaan tetapi puncanya tidak diketahui.

Lelaki tersebut juga sering bertukar kerja dan gagal menamatkan pelajarannya di sebuah universiti.

Dalam perkembangan berkaitan, polis sedang mencari kepala yang dipercayai milik seorang daripada empat orang mangsa yang dibunuh dalam kejadian itu.

Difahamkan hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, maklumat terbaru yang diterima adalah suspek turut menanam satu kepala yang kini masih lagi dicari.

Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dimulakan kira-kira jam 11.30 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, setelah mendapat maklumat daripada suspek utama yang ditahan.

Wartawan dan jurugambar berkumpul di perkarangan kubur itu sejak jam 9 malam selepas mendapat tahu suspek telah dibawa ke kubur itu selepas disoal siasat oleh polis setelah ditahan.

Difahamkan sehingga berita ini ditulis, Bahagian Forensik PDRM masih lagi menggali beberapa kawasan dengan menggunakan penyodok dan cangkul dalam kawasan yang gelap dan sunyi itu.

Tiada ulasan: