Jumaat, 15 Januari 2010

Surat lewat 2 bulan, guru terlepas pingat kebesaran

UTUSAN ONLINE


TEMERLOH - Akibat surat lewat diterima lebih dua bulan, seorang guru dari sini gagal hadir menerima pingat daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, November tahun lalu.

Guru berkenaan, Zainor Rashid Abdullah, 49, mendakwa, dia sepatutnya hadir menerima pingat tersebut di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada 22 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, surat jemputan bertarikh 4 November, 2009 itu hanya diterima pada 7 Januari lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta Pos Malaysia menyiasat dan memberi penjelasan sewajarnya berhubung insiden itu.

"Jika tidak, saya akan timbang tindakan seterusnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainor Rashid mendakwa, kegagalannya hadir pada majlis pengurniaan pingat itu seolah-olah menggambarkan dia tidak menghargai atau menolak penghargaan yang diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka kepadanya.

Beliau kesal dengan sikap segelintir kakitangan Pos Malaysia yang tidak mengambil berat dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Sepatutnya mereka lebih bertanggungjawab kerana surat tersebut adalah surat penting kerana tertera cop Urusan Seri Paduka Baginda di sampulnya.

"Masalah yang saya hadapi sama seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia beberapa tahun lalu apabila sepucuk surat dari Kuala Lumpur mengambil masa enam bulan sampai ke destinasinya di Putrajaya," katanya.

Zainor Rashid yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang dekat sini dianugerahi pingat Bintang Khidmat Terpuji (BKT) sempena Hari Ulang tahun Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka pada 10 Oktober lalu.

Tiada ulasan: