Jumaat, 8 Januari 2010

Sultan Kelantan 'gagah' hadiri majlis hari lahir Raja Perempuan

Oleh RAMLI ABDUL KARIM


KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan ternyata jauh lebih sihat berbanding gambaran sebelum ini dengan semalam baginda dibenarkan meninggalkan Hospital Mount Elizabeth untuk menghadiri majlis santapan sempena ulang tahun ke-59 Raja Perempuan Kelantan di sebuah hotel di Singapura.

Malah dalam majlis meraikan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid itu, baginda menikmati makanan dan minuman - tanpa menggunakan alat bantuan pemakanan atau sambungan tiub ke perut.

Realiti itu sama sekali bertentangan dengan laporan panel perubatan dilantik kerajaan negeri Kelantan bertarikh 24 Disember lalu yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 4 Januari lalu kononnya baginda makan menggunakan tiub dimasukkan ke dalam perut.

Semalam, wajah Tuanku Ismail Petra kelihatan begitu ceria dan segar berbanding sebelum ini ketika berkesempatan bersama Raja Perempuan Kelantan dan tiga daripada empat anakanda baginda berdua.

Mereka ialah anakanda kedua baginda yang juga Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz; Tengku Temenggong Kelantan (anakanda ketiga), Tengku Muhammad Fakhry dan Tengku Amalin A'ishah Putri (anakanda bongsu).

Turut bersama ialah bapa saudara Sultan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan kira-kira 20 ahli keluarga terdekat baginda.

Pada majlis santapan pada pukul 5 petang semalam itu, Tuanku Ismail Petra tidak menggunakan kerusi roda.

Sebaliknya baginda duduk di atas kerusi khas fisioterapi yang disediakan Hospital Mount Elizabeth dengan berlapikkan bantal di belakangnya.Ketika menceritakan mengenai keadaan Tuanku Ismail Petra sepanjang majlis santapan itu, Tengku Muhammad Fakhry memberitahu Utusan Malaysia malam ini:

"Baginda gembira dapat jumpa kami dan ahli keluarga. Sesekali Tuanku ketawa. Tuanku ucap selamat hari lahir dan mendoakan kesejahteraan baginda Raja Perempuan.

"Tuanku juga tanya mengenai khabar rakyat Kelantan. Baginda gembira diberitahu rakyat sejahtera, baginda sangat ambil berat tentang rakyat."

Mengenai kesihatan semasa Sultan Kelantan yang jauh berbeza dengan pengumuman Nik Abdul Aziz baru-baru ini, beliau berkata, beliau tidak faham mengapa ia berlaku.

"Sudah tiga bulan Tuanku tidak gunakan tiub untuk santap. Saya tak tahu bagaimana panel perubatan yang tidak diiktiraf Tuanku itu buat laporan, sedangkan mereka tidak pernah periksa Tuanku.

"Dengan berita terbaru perkembangan Tuanku ini, saya harap rakyat Kelantan dan masyarakat di Malaysia mengetahui kedudukan sebenar kesihatan Tuanku.

"Semalam (Selasa) semasa santapan petang itu, Tuanku jelas semakin sihat, bukannya lemah tetapi stabil seperti disebutkan panel itu," tegasnya.

Tiada ulasan: