Selasa, 26 Januari 2010

Sultan Kedah lantik 4 jemaah pemangku

BERNAMA


ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan melantik empat anggota Jemaah Pemangku baginda bagi menjalankan tugas Sultan Kedah berkuat kuasa hari ini sehingga 25 Februari.

Anggota Jemaah Pemangku itu ialah adinda baginda, Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Anuar yang dilantik sebagai Yang Dipertua Jemaah Pemangku Sultan; tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan ialah Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Tunku Sallehuddin; Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani dan puteri baginda, Tunku Panglima Besar, Tunku Puteri Datuk Seri Intan Safinaz.

Keempat-empat anggota jemaah itu melafaz sumpah yang disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Hussin dan Ketua Hakim Syarie Datuk Wira Sheikh Yahya Jusoh.

Istiadat pelantikan yang berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit pagi semalam dilakukan kerana baginda akan menjalankan tugas sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan menjalani rawatan fisioterapi selama 21 hari di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee, Jerman.

Tiada ulasan: