Khamis, 7 Januari 2010

Sultan boleh hilang kelayakan memerintah

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra boleh hilang kelayakan sebagai pemerintah negeri ini jika baginda berterusan tidak berupaya dari segi fizikal dan mental untuk kembali bertugas.

Majlis Perajaan Negeri (MPN) akan membuat siasatan dan pertimbangan tentang keupayaan Tuanku Ismail Petra sebelum memutuskan sama ada baginda dapat memegang semula tampuk pemerintahan.

Menurut sumber, berdasarkan laporan panel doktor pakar dan semua pihak yang berkesempatan menziarah baginda, Sultan Kelantan itu semakin sembuh tetapi mereka secara umumnya masih ragu-ragu tentang tahap fizikal dan mental baginda untuk kembali bertugas.

''Di bawah Fasal 22A(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan meninggalkan negeri lebih 30 hari atau jika baginda gering dan tidak boleh menjalankan hal ehwal negeri, maka Pemangku Raja boleh dilantik.

''Pemangku Raja hendaklah berhenti menjalankan tugasnya apabila Sultan pulang ke negeri atau apabila baginda sembuh.

''Namun, jika baginda pulang dalam keadaan yang masih gering dengan beberapa kecacatan besar dan berat, MPN boleh memutuskan jawatan itu terus dipangku," ujar sumber itu di sini hari ini.

Tuanku Ismail Petra menjalani rawatan susulan di Singapura sejak 24 Mei tahun lalu akibat serangan jantung dan pada hari yang sama, putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja bagi menjalankan tugas Sultan Kelantan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pertelingkahan Istana Kelantan yang makin sukar dibendung berkaitan masalah hak dan bidang kuasa.

Tiada ulasan: