Selasa, 12 Januari 2010

SPRM: Tan dibenar cabar keputusan mahkamah

MALAYSIA KINI



Mahkamah Persekutuan membenarkan ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Wah untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoalsiasat saksi hingga lewat malam.

Di Mahkamah Persekutuan, hak untuk merayu bukan automatik dan oleh itu kebenaran perlu diperolehi sebelum prosiding rayuan boleh dimulakan.

Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga harkim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff. Dua lagi hakim ialah Datuk Mohd Ghazali Md Yusof dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

NONEPeguam kanan persekutuan Amarjeet Singh tidak membantah permohonan tersebut.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Tan, mahu rayuan tersebut didengar hari ini berdasarkan kesegeraan perkara itu kerana ia membabitkan agensi penguatkuasa.

Bagaimanapun, mahkamah tidak dapat meneruskannya kerana penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan belum siap.

Ekoran itu, Alaudin memerintahkan supaya rayuan tersebut didengar pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Tan, 39, mencabar hak SPRM untuk menyiasat saksi sehingga lewat malam, di mana suruhanjaya dituduh mendera saksi.

Tan sendiri pernah melalui pengalaman disoalsiasat semalaman di ibupejabat SPRM Selangor pada 15 Julai tahun lalu.

Pada 19 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Ariff Md Yusof - ketika membenarkan semakan kehakiman yang difail oleh Tan - berkata SPRM tidak ada kuasa untuk menyiasat seseorang saksi secara berterusan sehari semalam.

Dan pada 25 November, pengarah bahagian siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull mengeluarkan arahan kepada semua pegawai SPRM supaya menjalankan soalsiasat pada waktu pejabat sahaja, iaitu 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagaimanapun, pada 17 Disember lalu, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Tiada ulasan: