Rabu, 13 Januari 2010

SPR jangan serah kepada PM, desak PAS

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak tidak lagi merujuk draf persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada perdana menteri kerana ia boleh merosakkan imej badan itu dan menimbulkan kesangsian, kata PAS.

"Walaupun amalan ini sudah menjadi kebiasaan, namun dari sudut integriti dan kebebasan SPR masih boleh dipersoalkan," kata ketua penerangan parti itu Idris Ahmad.

"Sebarang draf cadangan pindaan terhadap undang-undang serta peraturan SPR yang melalui pintu pejabat perdana menteri pastinya menimbulkan kesangsian kerana ia boleh dipinda sesuka hati oleh perdana menteri mengikut kepentingan partinya.

"Kredibiliti SPR dan perdana menteri sebagai pegawai eksekutif dalam kerajaan boleh dipertikaikan kerana kepentingannya itu."

Sebagai badan bebas, tambahnya, SPR harus mengemukakan terus sebarang draf atau dokumennya kepada Dewan Rakyat dan tidak wajar ia disalurkan terlebih awal kepada jemaah menteri untuk dipinda.

"SPR sepatutnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan setiap draf hanya perlu dilihat oleh ahli parlimen termasuk perdana menteri ketika dibentangkan dalam Parlimen dan bukannya dibawa ke mesyuarat kabinet terlebih dahulu untuk diedit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kabinet merupakan jawatankuasa eksekutif tertinggi negara, bukannya badan perundangan yang boleh menentukan kerelevanan sesuatu pindaan. Malah kabinet yang ada pada hari ini dilihat mempunyai kepentingan yang tinggi dalam semua isu dan perkara."

Idris juga berkata, PAS berharap selepas ini setiap suruhanjaya yang dibentuk melalui akta Parlimen merujuk terus kepada badan penggubal undang-undang "dan tidak perlu lagi mengetuk pintu kabinet kerana keputusan mewujudkan suruhajaya itu keputusan Parlimen, bukan kabinet."

Tiada ulasan: