Jumaat, 8 Januari 2010

Skim sukarelawan muzium diperkenal

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan memperkenalkan skim sukarelawan muzium untuk melatih golongan itu mengenai sejarah artifak dan warisan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, tugas sukarelawan muzium itu seakan-akan tugas seorang pemandu pelancong tetapi ia tertumpu kepada konsep penceritaan sejarah artifak dan warisan negara secara lebih terperinci.

Katanya, sukarelawan yang berminat perlu mengikuti sesi latihan bersama pakar-pakar sejarah yang akan dilantik sebagai tenaga pengajar sebelum diiktiraf sebagai sukarelawan di mana-mana muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia.

''Kita perlu ada skim ini kerana mahu pelawat dan pelancong bukan sekadar mengetahui kewujudan sesuatu artifak tetapi tahu asal-usulnya.

''Latihan itu mengutamakan teknik penceritaan, nada suara yang sedap didengar dan komunikasi yang baik dengan pelawat. Sukarelawan akan diberikan bayaran untuk khidmat mereka,'' katanya selepas mengadakan lawatan ke Muzium Tekstil Negara di sini hari ini.

Rais berkata, langkah mewujudkan skim itu untuk memastikan muzium di Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan dan sentiasa menarik perhatian pengunjung.

Menurut beliau, statistik jabatan itu menunjukkan sejak muzium-muzium di negara ini diberi wajah baru, jumlah pelawat meningkat kepada 2.5 juta orang pada 2009 berbanding 1.9 juta orang pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan telah menaik taraf Muzium Tekstil Negara menjadi sebuah muzium khas untuk mempamerkan semua koleksi tekstil negara dan akan dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari ini.

Jelas beliau, muzium yang terletak di Jalan Sultan Hishamudin itu dibahagikan kepada empat galeri dengan setiap galeri mempamerkan keunikan tekstil-tekstil tradisional daripada masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

''Kita hanya mengenakan bayaran RM1 kepada setiap pelawat dan bagi pelajar yang memakai uniform sekolah masuk adalah percuma.

''Kita mengharapkan jumlah pelawat semakin bertambah dan kementerian bersama Jabatan Muzium Malaysia akan sentiasa memberi nafas baru kepada setiap muzium agar kelihatan lebih menarik,'' ujarnya.

Tiada ulasan: