Khamis, 7 Januari 2010

Skandal F-5E: Enggan tubuh suruhanjaya cemarkan integriti negara

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak menubuhkan suatu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes kehilangan dua enjin jet F-5E TUDM dilihat tidak mampu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap integriti negara.

"Dengan tidak menubuhkan Suruhanjaya (DiRaja), kerajaan dan TUDM tidak mampu memulihkan semula kepercayaan rakyat pada integriti negara," jelas beliau ketika dihibungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak memadai bagi Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa puas hati dengan perakuan Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Ghani Patail dan hasil siasatan polis sahaja.

"Ini (adalah) suatu kes berprofil tinggi (dan) melibatkan kepentingan Awam (dan) keselamatan negara, (maka) tidak cukup dengan perakuan daripada AG dan hasil siasatan polis sahaja," jelasnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya keengganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bertujuan memelihara nama baik negara.

"Hilang itu sendiripun sebenarnya sudah mencemarkan nama negara...(maka) dengan penubuhan Suruhanjaya (DiRaja) ini supaya kes sebegini tidak berulang lagi," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sebelum ini mendakwa bahawa seolah-olah wujud suatu konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan pegawai atasan TUDM, ahli politik tertentu dan Kementerian Pertahanan berhubung kes tersebut.

Di peringkat diplomat pula, khabar angin yang mengatakan enjin jet itu kini berada di Iran menyebabkan kerajaan membuat cerita kononnya enjin itu hilang.

Ia bertujuan untuk mengelakkan kemarahan Amerika kepada Malaysia.

Tiada ulasan: