Isnin, 18 Januari 2010

'Siasat dalang peralat Raja Petra'

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat pihak yang memperalatkan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, 59, bertujuan memburukkan kerajaan dan pemimpin negara ini melalui laman blog kendaliannya, Malaysia Today.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata perkara itu lebih penting daripada gerakan mengesannya yang hingga kini menemui jalan buntu, sekali gus mengelak rakyat daripada terus dipengaruhi artikel atau komennya yang disiarkan laman blog berkenaan.

"Dia boleh cakap, tulis macam-macam sebab ada `lesen besar'. Malaysia Today dia punya. Itu platform terbaik untuknya membantu pihak tertentu mengecam pemimpin negara dan kerajaan kita, termasuk Ketua Polis Negara.

"Tumpuan kita sekarang hanya usaha menangkapnya. Dia terus mempermainkan pihak berkuasa dan menyiarkan pelbagai cerita yang boleh mempengaruhi fikiran rakyat," katanya ketika dihubungi semalam.

Ia sebagai mengulas catatan terbaru penulis blog itu yang mendakwa masih berada dalam negara, bukannya bersembunyi di Australia, England dan Poland dalam laman blog kendaliannya, Malaysia Today, Jumaat lalu.

Raja Petra dipetik sebagai berkata: "Kamu (Tan Sri Musa Hassan) kata keluar (Malaysia) dan ke negara lain secara haram atau menggunakan pasport asing. Sebenarnya, kamu tidak tahu pun di mana saya berada kerana tidak menemui bukti saya berada di luar negara."

Beliau turut mendakwa mempunyai 'orang dalam' yang memantau setiap pergerakan Musa dan membuat laporan harian kepadanya berhubung segala aktiviti di Bukit Aman, termasuk rancangan kerajaan memaksanya bersara awal dengan tawaran menjadi duta.

Abdul Latiff yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, berkata penulis blog itu tidak lebih dari sekadar 'budak suruhan' dalam menjayakan `misi kotor' pihak tertentu di belakangnya dalam usaha menjatuhkan kerajaan dan pemimpin negara.

"Siapa Raja Petra? Dia tiada apa-apa pun tanpa kewujudan pihak tertentu di belakangnya. Kita minta polis kenal pasti siapa pihak itu, yang dipercayai turut membantunya melarikan diri ke luar negara, termasuk membiayai kehidupannya di sana.

"PDRM diyakini mampu membongkar siapa di belakang Raja Petra, yang memperalatkannya untuk membalas dendam terhadap pemimpin dan kerajaan, melalui pelbagai jaringan maklumat risikan dalam dan luar negara," katanya.

Selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, beliau berkata, tidak mustahil jika Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula akan menjadi sasaran terbaru `serangan' selepas ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mencabar penulis blog berkenaan supaya menyerah diri dan menghadapi perbicaraan mahkamahnya jika benar beliau masih berada di negara ini.

"Dia yang cakap berada dalam negara sedangkan siasatan mendapati dia bersembunyi di luar negara, malah keluar (Malaysia) menggunakan dokumen palsu. Jika dakwaannya itu benar, mengapa dia tidak muncul, tidak perlu kita susah payah cari.

"Jika dia tidak bersalah, apa yang perlu ditakutkan. Ikutlah perbicaraan kesnya dengan berani," katanya.

Tiada ulasan: