Jumaat, 1 Januari 2010

Sheikh Muszaphar -Dr. Halina Selamat Melangsungkan Pertunangan

MSTAR ONLINE




Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina telah selamat melangsungkan pertunangan hari ini. -Foto The Star oleh LOW BOON TAT

SEREMBAN: Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor hari ini telah mengikat tali pertunangan dengan Dr. Halina Mohd Yunus di Hotel Allson Kelana, di sini.

Majlis pertunangan yang bermula pada pukul 4 petang itu berlangsung sederhana tetapi meriah dengan dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan terdiri daripada anggota keluarga, sanak saudara, rakan-rakan rapat dan wakil media.

Dr Sheikh Muszaphar, 37, segak berpakaian baju Melayu kelabu dan bersamping merah muda dan bersongkok dengan diiringi bapanya Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad.

Sementara Dr Halina, 29, yang tampak manis berpakaian baju kurung moden merah muda diiringi bapanya Mohd Yunos Mohd Ali dan ibunya Habibah Endan.

Dr Halina adalah anak jati Negeri Sembilan yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Dr Halina menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas dengan lima dulang hantaran.

Zuraidah kemudian menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Dr Halina sebelum Habibah pula menyarungkan cincin ke jari manis Dr Sheikh Muszaphar.

Pasangan itu memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga detik Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Okt 2007.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Dr Sheikh Muszaphar yang telah mengenali Dr Halina sejak lapan tahun lepas berkata:" Saya sangat gembira impian untuk merealitikan hubungan yang sekian lama terjalin kepada ikatan rasmi".

Ditanya jumlah wang hantaran yang akan diberikan kepada bakal isterinya, beliau berkata: "biarlah rahsia" dan menurutnya tempat majlis perkahwinan belum ditentukan tetapi yang pasti akan diadakan di Kuala Lumpur.

Dr Halina pula mengakui tidak keberatan berkongsi perhatian bakal suaminya itu dengan rakyat Malaysia.

"Kalau sudah ada jodoh tak ke mana," katanya.

Tiada ulasan: