Sabtu, 16 Januari 2010

Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam dituduh rasuah RM10,000

BERITA HARIAN ONLINE


BATU PAHAT: Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru minggu lalu atas dua tuduhan rasuah, Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam semalam didakwa pula di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM10,000, pada Mac lalu.

Mohd Helmi Sha'ri, 29, yang juga anak Timbalan Mufti Johor itu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan selepas jurubahasa mahkamah membacakan tuduhan ke atasnya di hadapan Hakim Mohamad Halidar Abdul Aziz.

Dia yang kelihatan tenang ketika mendengar pertuduhan ke atasnya dilihat mengeleng-gelengkan kepala ketika pertuduhan dibacakan sebelum mengaku tidak bersalah ketika ditanya jurubahasa.

Mohd Helmi dituduh menerima rasuah dalam bentuk wang tunai RM10,000 bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 April hingga 27 April 2009 daripada Rahmat Mohd Arsat, 60, di Pejabat MDSR di Kluang pada 30 Mac 2009.

Ia sebagai dorongan bagi mempercepatkan tunggakan pembayaran kepada Syarikat Perniagaan Rahmat untuk kerja menolak dan menyelenggara sisa pepejal dari kawasan Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) di tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di Ladang CEP1, Renggam, Simpang Renggam berjumlah RM225,000.

Mohd Helmi didakwa menerusi Seskyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syafinas Shabudin menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius berikutan dia adalah penjawat awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Rosli Kamarudin, memohon mahkamah supaya menetapkan jaminan RM2,000 berikutan anak guamnya itu juga terbabit dalam dua tuduhan rasuah di Johor Bahru dan sudah diikat jamin RM10,000 atas kesalahan berkenaan.

Hakim Mohamad Halidar kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 25 Mac ini.

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu lalu, Mohd Helmi didakwa atas dua pertuduhan membabitkan dua tuduhan rasuah berjumlah RM50,000 yang didakwa dilakukan pada 13 April, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperoleh suapan dalam bentuk cek RHB Bank berjumlah RM48,000 daripada Zainal Abidin Ibrahim, 49, bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 hingga 27 April tahun lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, Mohd Helmi turut memperoleh suapan dalam bentuk cek Bank Muamalat berjumlah RM2,000 daripada Zainal bagi membiayai pakej lawatan sama bagi membantu lelaki itu mendapatkan kerja menaik taraf sistem perparitan dan menurap jalan samayang dikeluarkan MDSR.

Tiada ulasan: