Jumaat, 22 Januari 2010

Serangan ke atas surau tindakan pengecut

MALAYSIA KINI



Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas serangan yang dilakukan terhadap dua buah surau di Muar semalam.

Pada kejadian awal pagi semalam, Surau Silaturrahim dan Surau Kampung Parit Beting masing-masing dipercayai dibakar menggunakan minyak tanah.

Menurut Anwar, setelah berakhir siri serangan terhadap beberapa gereja dan gudwara, kini surau pulau menjadi sasaran.

“Pendirian Pakatan Rakyat jelas iaitu kesucian rumah ibadat, walau apapun kepercayaannya mestilah dihormati. Tindakan menyerang rumah ibadat adalah satu tindakan pengecut dan tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pemipin PKR itu juga memberi amaran kepada mana-mana pihak agar jangan cuba mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian serta menimbulkan keretakan di kalangan rakyat.

Menurut Anwar, rakyat Malaysia sudah lama hidup dalam keadaan rukun dan aman. Mereka kini sudah cukup matang serta bijak untuk meremehkan sebarang usaha jahat demi menguntungkan politik golongan tertentu.

'Bakar sentimen agama untuk laba'

“Amat dikesali apabila ada pihak yang sanggup membakar sentimen agama hanya untuk laba yang sedikit,” katanya.

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat- sebahagian besarnya gereja - menjadi sasaran serangan bom api dan perbuatan vandalisme.

Ia dipercayai berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Ekoran itu, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa mingguan Katholik, Herald, boleh menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai rayuan oleh kerajaaan terhadapnya.

Tiada ulasan: