Sabtu, 23 Januari 2010

Sekolah pondok tertua terbakar


Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat Pondok Lubuk Tapah yang musnah dalam kebakaran di Lubuk Tapah, Pasir Mas pagi semalam.. - Utusan/ Hafiz Johari


PASIR MAS. - Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi.

Usaha memadamkan kebakaran oleh pihak bomba dan penyelamat gagal menyelamatkan bangunan sekolah itu berikutan api marak terlalu cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Adnan Said berkata, tekanan air yang rendah dan bekalan elektrik yang masih belum terputus ketika kejadian menyukarkan usaha anggotanya memadamkan api.

"Sebaik sahaja kami sampai, hampir 80 peratus daripada bangunan blok A sudah hangus. Api ketika itu marak dengan cepat kerana tiupan angin agak kencang.

"Pihak kami cuba sedaya upaya untuk mengawal kebakaran namun kita kekurangan sumber air menyebabkan blok B dan C serta sebuah rumah banglo turut musnah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, empat buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Kota Darul Naim, Tanah Merah dan Rantau Panjang dibantu 19 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.55 pagi.

Menurut beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM700,000.

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meluangkan masa melawat lokasi sekolah pondok tersebut.

Sekolah Pondok Lubuk Tapah merupakan pusat pendidikan agama selain memberi pendidikan formal kepada para pelajar dan muridnya.

Sekolah itu mempunyai lebih 100 orang pelajar dan 15 orang guru.

Selain pelajar tempatan, sekolah itu turut menerima kemasukan pelajar asing khususnya dari Thailand dan Kemboja yang ingin mendalami pengajian al-Quran.

Pengerusi sekolah pondok berkenaan, Dr. Luqman Abdullah memberitahu ketika kejadian, terdapat seramai 55 orang pelajar dalam bangunan itu dan kesemua mereka terselamat.

"Para pelajar ditempatkan di bangunan itu sementara menunggu pembinaan bangunan baru yang dijangka siap tidak lama lagi.

"Kebanyakan daripada mereka ialah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai pelbagai aktiviti sekolah sementara menunggu keputusan," kata beliau.

Add to Google

Tiada ulasan: