Rabu, 27 Januari 2010

‘Saya beri tempoh sebulan lagi’

Oleh ZAMZURINA AHMAD


KUANTAN – Pelaksanaan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno yang menjadi teka-teki selama ini akan diketahui keputusannya bulan depan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, keputusan untuk menentukan tarikh pelaksanaan hukuman tersebut akan diumumkan dalam tempoh sebulan lagi.

“Kita harap dapat selesaikan isu ini dengan bijaksana dan penuh keinsafan kerana mungkin ada rahmat di sebalik kelewatan pelaksanaan hukuman ini.

“Saya beri tempoh sebulan lagi untuk selesaikan segala masalah dan mencari punca kenapa ia tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin,” titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Insentif Sukan SEA Laos 2009 di Hotel MS Garden di sini hari ini.

Kartika, 33, ditahan oleh pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam kali sebatan ke atasnya.

Menurut Tengku Abdullah, baginda tidak menafikan kelewatan pelaksanaan hukuman tersebut disebabkan kes model itu telah menjadi isu sensitif dan menimbulkan perdebatan pelbagai pihak sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya akui isu ini begitu sensitif dan kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak berpanjangan,” titah baginda lagi.

Ketika ditanya mengenai permohonan Kartika untuk menemui baginda atau Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah memberitahu, baginda sentiasa bersedia jika wanita itu benar-benar mahu bertemunya.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak saya tidak menerima sebarang surat rasmi atau panggilan telefon mengenai keinginannya untuk berjumpa saya bagi menyelesaikan isu tersebut,” titahnya.

Tiada ulasan: