Rabu, 6 Januari 2010

Rumah ahli perniagaan dibaling bom

BERNAMA


Sebutir bom dipercayai buatan sendiri meletup di hadapan rumah keluarga seorang ahli perniagaan yang sedang nyenyak tidur di Taman Perkasa, Permatang Tengah di Butterworth awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Utara Supt Shukri Awang berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan satu objek hitam dilihat tergolek di hadapan rumah tersebut sebelum ia tersangkut di pagar dan meletup, pada kira-kira pukul 3.10 pagi.

Beliau berkata ketika kejadian ahli perniagaan yang berusia 40-an bersama tujuh anggota keluarganya itu sedang tidur di bilik masing-masing di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

Beliau berkata sekumpulan anggota polis termasuk dari unit pemusnah bom dan forensik bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Polis menemui beberapa serpihan bom dipercayai buatan sendiri di sekitar rumah itu selain mengesan beberapa kesan kerosakan pada struktur dinding," katanya kepada pemberita di Butterworth hari ini.

Shukri berkata selain memusnahkan struktur pagar pekarangan rumah, impak letupan bom itu turut merosakkan sebuah kenderaan milik ahli perniagaan itu.

Menurutnya polis masih belum mengambil keterangan penuh ahli perniagaan itu kerana beliau masih dalam keadaan trauma.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, ahli perniagaan itu dikatakan pernah menerima panggilan berunsur ugutan daripada individu tidak dikenali yang meminta wang dan mengugut akan membunuh anaknya.

"Ahli perniagaan itu juga pernah menerima ugutan bunuh dan culik anaknya jika dia enggan memenuhi tuntutan (wang) dan satu laporan polis mengenainya pernah dibuat bulan lepas," katanya.

Katanya kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.

Tiada ulasan: