Sabtu, 16 Januari 2010

RMK-10 dibentang 10 Jun

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN


KUCHING – Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bermula 2011 hingga 2015 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Jun depan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, ketika ini, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sedang giat mengadakan sesi dialog dan mesyuarat bersama kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri berhubung perkara itu.

Menurutnya, mesyuarat dan dialog itu akan memastikan RMK-10 yang akan dibentangkan mempunyai satu laporan dan dokumen yang lengkap serta sempurna dengan mengambil kira pandangan serta komen semua pihak.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil dialog dan mesyuarat saya bersama pemimpin dari negeri ini memandangkan Sarawak merupakan negeri yang besar dan memerlukan banyak peruntukan dalam RMK-10,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog mengenai RMK-10 dengan kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta barisan Kabinet kerajaan negeri.

Nor Mohamed memberitahu, beliau dapat memahami banyak isu dan masalah khusus untuk faedah negeri ini hasil perbincangannya bersama para pemimpin negeri Sarawak.

“Penjelasan itu akan memberi satu peluang dan ruang bagaimana untuk mengambil tindakan bagi menyelesaikan sebarang isu dan halangan yang dihadapi Sarawak dalam RMK-10,” katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata, peruntukan kerajaan kepada Sarawak untuk RMK-10 hanya akan diketahui pada 10 Jun setelah ia dibentangkan di Parlimen.

Tambahnya, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat itu lebih awal kerana ia merupakan maklumat sulit.

Tiada ulasan: