Rabu, 6 Januari 2010

Raja Petra banyak identiti

Penulis blog guna Facebook dakwa berada di negara berbeza

Oleh Hardi Effendi Yaacob


KUALA LUMPUR: Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin, 59, yang diburu polis dipercayai menggunakan lebih satu identiti dan pasport palsu bagi memudahkan kehidupannya di luar negara, termasuk mencari tempat persembunyian baru.

Malah, pengendali web Malaysia Today itu turut menggunakan pelbagai helah lain, termasuk laman sosial popular, facebook bagi menyukarkan pihak berkuasa memantau pergerakannya sejak menghilangkan diri lapan bulan lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan itu menunjukkan dia semakin terdesak disebabkan beberapa faktor, termasuk kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tempat persembunyiannya hasil maklumat risikan dan bantuan Polis Britain.

"Ia turut didorong pendedahan media tempatan mengenai tempat persembunyian di London, baru-baru ini.

"Justeru, tidak hairan jika dalam laman sosial itu (facebook), beliau mendakwa berada di negara berbeza... sekejap tinggal di England, sekejap di Poland. Ini semua helah supaya polis dan media keliru," katanya.

Jumaat lalu, Raja Petra yang mempunyai dua waran tangkap kerana gagal menghadiri perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendakwa berada di Poland, malah sempat meraikan sambutan tahun baru di satu lokasi rahsia di negara itu.

Malah, dalam laman sosial itu, beliau turut menyertakan sekeping gambar terbarunya bersama dua wanita Poland yang didakwanya dirakamkan pada malam sambutan tahun baru.

Dalam laman sosial sama, Raja Petra yang diisytiharkan bankrap sebelum ini turut memperlekehkan tindakan pihak berkuasa Malaysia.

Sumber berkata, maklumat risikan menunjukkan penulis blog itu masih tinggal di pangsapuri mewah di Gloucester Terrance, Bayswater, antara penempatan elit di London, dengan kebanyakan hartanah di situ dimiliki warga Malaysia.

"Dari London, Raja Petra didapati sering keluar masuk ke beberapa negara berhampiran, tetapi tidak pasti atas tujuan apa. Beliau dipercayai menggunakan pelbagai identiti dan pasport palsu.

"Ada kemungkinan pasport palsu itu disediakan individu atau kumpulan sama menaja kehidupan mewahnya sepanjang menjadi 'pelarian' di sana," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dihubungi berkata, pihaknya tahu kandungan laman sosial berkenaan dan memaklumkan usaha memburu Raja Petra diteruskan.

"Dia boleh cakap... tulis apa saja. Kita akan terus memburunya. Lagipun, sampai bila dia boleh melarikan diri dan bersembunyi.

"Kita sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk menyiapkan dokumen bagi memohon ekstradisinya," katanya.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengesahkan akan membuat permohonan kepada Kerajaan Britain untuk membawa pulang Raja Petra untuk dibicarakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengetahui lokasi sebenar Raja Petra sebelum proses untuk ekstradisi dilakukan.

"Hanya apabila mengetahui lokasi sebenar, kita dapat mohon bantuan untuk ekstradisi. Dalam kes ini, kita perlu lihat prosedur undang-undang secara teliti," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Tiada ulasan: