Rabu, 20 Januari 2010

Polis siasat exco S'gor kes peruntukan sekolah Tamil

Jimadie Shah Othman

( dikemaskini 7pm) - Polis memulakan siasatan terhadap exco kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini berkaitan laporan polis yang mendakwa beliau telah menyelewengkan peruntukan RM1.67 juta untuk sekolah Tamil tahun lalu.

Dua pegawai polis berpangkat ASP dan inspektor daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Subang Jaya merakamkan kenyataan Dr Xavier di pejabatnya di Shah Alam selama kira-kira dua jam, mulai jam 4 petang tadi.

Siasatan tersebut dibuat susulan laporan polis oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Klang, G Jeganathan yang mendakwa peruntukan kerajaan untuk menaiktarafkan sekolah Tamil, telah diberikan kepada tiga NGO, tanpa sebab yang jelas.

NGO terbabit ialah Yayasan Tamil Malaysia, Pusat Pengembangan dan Pendidikan dan Informasi Kanak-Kanak (Child), serta Yayasan Kajian, kebajikan dan Pendidikan (EWRF).

Dalam aduannya kelmarin, Jeganathan dilaporkan mendakwa menerima surat yang ditandatangani oleh semua wakil PIBG yang mendakwa tidak menerima wang peruntukan tersebut.

Dalam sidang media sejurus selepas selesai memberi keterangannya, Dr Xavier berkata, dua pegawai polis berkenaan mengajukan pelbagai soalan kepadanya, antaranya, mengenai hubungannya dengan pemimpin NGO terbabit, proses memberikan kelulusan peruntukan dan latar belakangnya.

Beliau juga tidak pasti sama ada siasatan terhadapnya akan disambung lagi selepas ini.

"Saya tidak tahu sama ada mereka akan datang lagi. Itu mereka punya kerja," kata Dr Xavier.

Mengulas aduan polis terhadapnya, Dr Xavier turut mempertikaikan kewujudan PIBG yang dianggotai Jeganathan itu.

Beliau juga mengesyaki dakwaan terhadapnya itu bermotifkan politik, walaupun ianya masih tidak jelas.

"Pada saya, ya (bermotifkan politik). Tetapi saya tidak rasa (ini peranan) Jeganathan semata-mata. Pasti ada orang lain di belakangnya," kata beliau yang juga ADUN Seri Andalas.

Mengenai penglibatan tiga NGO India tersebut, Dr Xavier menjelaskan, pada Mei lalu, kerajaan negeri meluluskan pemberian geran bernilai RM1,588,381 kepada kumpulan terbabit bagi membantu mereka menganjurkan program pendidikan di sekolah jenis pendidikan Tamil.

Dr Xavier berkata, program tersebut dianjurkan di kesemua 97 sekolah Tamil di negeri Selangor.

Katanya, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kelayakan setelah menimbangkannya selama enam bulan. Ia juga akan dikaji semula setiap hujung tahun.

Walaupun penilaiannya dibuat pada Februari ini, Dr Xavier membayangkan akan memberikan geran baru kepada tiga NGO terbabit kerana berpuas hati dengan program yang dianjurkan mereka.

Tiada ulasan: