Jumaat, 8 Januari 2010

PM arah tingkatkan keselamatan rumah ibadat

MALAYSIA KINI
(kemaskini 2.45pm)


Perdana menteri mengarahkan polis untuk meningkatkan kawalan di semua rumah ibadat, susulan kejadian membakar sebuah gereja di tengah-tengah kontroversi isu 'Allah'.

najib tun razakDatuk Seri Najib Razak turut mengutuk tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu dalam tiga insiden tersebut - terburuk di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan kerugian lebih RM1 juta apabila tingkat bawah bangunan itu hangus.

Tan Sri Musa Hassan pula berkata polis akan meronda semua gereja di seluruh negara, khususnya di Lembah Kelang, bagi menghalang kejadian yang tidak diingini.

"Kita juga sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu, namun siasatan awal mendapati kejadian itu tidak dirancang secara rapi dan dilakukan oleh individu yang terlalu emosional," beliau dipetik berkata.

Insiden pertama berlaku pada kira-kira pukul 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja, lapor Bernama.

NONEMusa juga berkata, berikutan itu berlaku kebakaran yang mengakibatkan kerusi dan buku-buku agama di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu musnah.Menurut agensi berita yang sama, perdana menteri memandang berat insiden tersebut yang boleh menghancurkan keharmonian negara ini.

"Saya mengutuk tindakan yang telah dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ini akan menghancurkan keharmonian dalam negara kita.

"Keadaan di mana wujud kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup... kita hormat menghormati antara satu sama lain... (ia) tidak boleh digugat oleh sesiapa," kata Najib selepas majlis pertukaran memorandum perjanjian Program Pembangunan Modal Insan Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Putrajaya.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil apa jua tindakan bagi mencegah perbuatan sedemikian.

Najib berkata apa jua masalah yang berbangkit dalam negara perlu diselesaikan melalui kaedah atau saluran yang sesuai dengan undang-undang.

NONE"Tidak boleh mengambil tindakan yang melampaui batas yang boleh mengancam keharmonian negara kita," katanya.

Perdana menteri mengingatkan pihak tertentu agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.

"Perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan rapi dan apa jua tindakan adalah berasaskan undang-undang negara," katanya.

Dalam pada itu, Najib menolak andaian seorang wartawan portal berita berhubung pembabitan anggota Umno dalam cubaan menimbulkan ketegangan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh majalah mingguan Katholik, Herald.

"Jangan menuding jari kepada Umno atau sesiapa saja. Kami memang sentiasa bersikap amat bertanggungjawab.

"Jangan menuduh bahawa serangan ini didalangi oleh Umno. Apa yang baru anda nyatakan itu sangat menghina," katanya.

"Anda bermaksud begitu. Hentikanlah."

Tiada ulasan: