Isnin, 11 Januari 2010

Pintu gereja di Seremban dibakar

BERNAMA



(kemaskini 2.46pm) Sebuah gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban mengalami kebakaran di pintu utamanya akibat perbuatan khianat pagi ini.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abd Manan Mhd Hassan berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini yang menyatakan terdapat kerosakan dipintu utama gereja itu.

seremban church door burned 110110 02"Hasil daripada maklumat tersebut, polis bersama dengan unit forensik dan bomba datang membuat siasatan dan mendapati hanya terdapat kerosakan kecil dengan kesan kebakaran pada pintu depan gereja tersebut.

"Kita percaya mereka yang melakukan perkara ini ialah dengan menyimbah minyak petrol dan membakarnya, sebelum melarikan diri. Bagaimanapun, kebakaran ini tidak merebak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, polis percaya kejadian itu berlaku antara pukul 1.30 pagi dan 8.30 pagi ini kerana pada pukul 1.30 pagi tadi, unit kereta peronda polis ada membuat lawatan di situ dan mendapati tiada apa-apa berlaku.

Abd Manan berkata kejadian ini adalah yang pertama berlaku di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua kereta peronda dan juga anggota yang menjalankan tugas rondaan (bit) untuk memantau dan membuat pemerhatian di tempat-tempat ibadat termasuk gereja dan masjid di negeri ini bagi mempastikan tiada kejadian seperti ini berlaku.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara seperti ini. Saya memberi amaran, jangan cuba membuat sesuatu yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka ini," katanya.

Seorang paderi gereja itu Eddy Marson Yasir, 33, berkata beliau adalah orang terakhir yang meninggalkan dan mengunci gereja itu pada kira-kira pukul 11.30 malam tadi selepas mengadakan mesyuarat.

"Saya terkejut kerana diberitahu oleh seorang ahli gereja mengenai kejadian itu pagi ini. Gereja ini telah berada di Seremban 10 tahun dan kita menyewa bangunan rumah kedai itu sejak lima tahun yang lepas," katanya.

Seorang ahli gereja itu V Jashua, 49, berkata beliau sedang bersarapan pagi di kawasan itu dan mendapati seorang lelaki berada di hadapan gereja itu sambil memerhatikan keadaan di situ.

"Saya rasa curiga dan hampiri lelaki itu dan menanyakan mengapa dia berada di situ. Lelaki itu kemudian menunjukkan kesan terbakar dipintu utama gereja. Saya kemudian hubungi Eddy," katanya.


Tiada ulasan: