Rabu, 6 Januari 2010

Permohonan menteri didengar hari ini

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menggantung pelaksanaan perintah yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguan, Herald-The Catholic Weekly akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 2.30 petang esok.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Nik Isfahanie Wan Abd. Rahman setelah Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi memfailkan permohonan penggantungan perintah di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 12 tengah hari ini.

Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan.

Bersama permohonan yang dikemukakan mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Andi turut memfailkan sijil perakuan segera untuk membolehkan permohonan Menteri Dalam Negeri itu didengar secepat mungkin.

Menurut Andi, pihaknya memohon penangguhan pelaksanaan perintah yang dibuat oleh Hakim Bee Lan pada 31 Disember lalu sementara menunggu rayuan didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Andi menyatakan antara alasan yang terkandung dalam permohonan itu adalah keputusan yang dibuat oleh hakim tersebut membabitkan faktor kepentingan awam yang menyentuh sensitiviti agama dan mengancam keselamatan negara.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan salinan dokumen kepada pihak media kerana ia belum diserahkan kepada Titular Roman Catholic Archbishop selaku responden dalam permohonan tersebut.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Andi berkata, permohonan untuk mengantung pelaksanaan perintah itu perlu didengar segera supaya ia tidak akan menjadi sia-sia dan bersifat akademik semata-mata sekiranya keputusan rayuan nanti menyebelahi pihaknya.

Hakim Bee Lan dalam penghakiman sebelum ini memutuskan, mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan kepada penganut agama Kristian.

Tiada ulasan: