Sabtu, 16 Januari 2010

Perkasa buat laporan polis terhadap Khalid Samad

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Persatuan Kebajikan Shah Alam (Perkasa) hari ini meminta polis melakukan siasatan terhadap Ahli Parlimen mereka, Khalid Abdul Samad yang didakwa cuba mengeruhkan lagi isu berhubung larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan rakyat di Selangor.

Pengerusinya, Azmir Md. Zin berkata, siasatan perlu dilakukan ekoran kenyataan Khalid dalam sebuah portal berita yang secara terang-terangan mengkritik keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membantah serta melarang kalimah itu digunakan orang bukan Islam.

Beliau berkata, tindakan Yang Dipertua Pas Shah Alam itu tidak wajar selain didakwa mempunyai unsur-unsur menghasut rakyat agar membenci agensi kerajaan negeri itu yang menerima perintah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Semua rakyat di Selangor telah maklum bahawa MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada iaitu melarang pemakaian kalimah Allah oleh agama lain kecuali Islam di negeri ini.

"Berikutan itu, Khalid membuat kenyataan yang menggambarkan kedua-dua agensi itu seolah-olah cuba mencetuskan sentimen tidak puas hati di kalangan umat Islam.

"Sebagai Ahli Parlimen, Khalid seharusnya menumpukan perhatiannya kepada rakyat selain menjaga keharmonian di antara kaum dan agama di negeri itu, bukannya mengeruhkan lagi keadaan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan terhadap Khalid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Khalid menerusi laman portal berita propembangkang Malaysiakini yang mengkritik MAIS dan JAIS kerana didakwa menganjurkan protes penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam di masjid negeri pada 8 Januari lalu.

Tidak cukup dengan itu, Khalid turut mengecam MAIS dan JAIS kerana mengarahkan wakil mereka menyertai protes tersebut termasuklah membawa kain rentang menunjukkan bantahan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, UMNO Shah Alam hari ini turut membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud yang menuduh UMNO sebagai dalang kepada insiden membakar gereja dan menimbulkan kekacauan di negara ini.

Laporan yang dibuat oleh Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Zakaria Yahya itu mendakwa, tuduhan yang dibuat oleh Siti Mariah menerusi laman blog http://drsitimariah.blogspot.com/ itu adalah tidak berasas dan bertujuan menghasut rakyat membenci parti politik itu.

Katanya, dalam keadaan wujudnya ketegangan di kalangan rakyat mengenai isu tersebut, tindakan Siti Mariah itu jelas bertentangan dengan usaha memulihkan ketenteraman dan keselamatan rakyat di negara ini.

"Apa yang kita nampak, beliau (Siti Mariah) seolah-olah cuba mempolitikkan isu ini dengan membangkitkan sentimen kebencian di kalangan rakyat," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Nor Azam Jamaluddin ketika hubungi mengesahkan pihaknya menerima kedua-dua laporan berkenaan.

Katanya, pihaknya akan meneliti laporan tersebut dan siasatan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Tiada ulasan: