Sabtu, 16 Januari 2010

Pemuda BN Sabah, Sarawak perlu jelaskan isu kalimah


Khairy Jamaluddin bersalaman dengan Dexter Lim Ming Guan, di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO, Kuala Lumpur, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Sayap Pemuda Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak diarah memberi penerangan berhubung isu penggunaan kalimah Allah kepada ahli parti dan generasi muda di negeri itu.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, sesi penerangan itu amat penting bagi mengelakkan ada pihak mempergunakan isu sensitif itu dengan niat mencetuskan ketegangan.

Jelasnya, walaupun isu itu hangat di Semenanjung, namun ia masih tidak memberi kesan kepada suasana di Sabah dan Sarawak dan situasi tenang itu perlu dipertahankan.

"Saya telah mengarahkan Pemuda BN supaya terus membuat penerangan untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak menerima berita tersebut dengan rasional, matang dan dengan semangat 1Malaysia.

"Dengan cara itu, perkara tersebut tidak akan menimbulkan apa-apa masalah atau ketegangan di kedua-dua negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini hari ini.

Pemuda LDP yang diketuai Setiausahanya, Dexter Lim Ming Guan meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk membincangkan isu-isu semasa termasuk penggunaan kalimah Allah bersama Khairy dan beberapa Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Sementara itu Khairy berkata, pihaknya juga telah mengingatkan anggota sayap Pemuda BN supaya tidak mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah.

Jelasnya, isu itu amat sensitif kerana ia berkaitan dengan keselamatan negara dan perlu diselesaikan daripada perspektif kenegaraan.

Menurutnya, dalam menghadapinya Pemuda BN mestilah bertindak dengan matang, waras dan penuh kesabaran.

"Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kerajaan sedang mencari penyelesaian, yang menjadi masalah ialah bila ada pihak yang menuding jari menyalahkan satu lagi pihak pada hal ini semua tidak akan membantu.

"Sebab itu Pemuda BN bertegas isu seperti ini perlu ada satu jalan penyelesaian yang jelas, bukannya dijadikan bahan politik," katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berharap ahli sayap itu dan golongan muda tidak dipinggirkan daripada Program Juara Rakyat di peringkat bahagian.

Katanya, berdasarkan pada kejohanan futsal dan program motivasi pelajar yang membabitkan golongan muda sewaktu majlis pelancaran Program Juara Rakyat di Hulu Selangor minggu lalu, beliau yakin Pemuda UMNO boleh memberikan sumbangan besar.

"Mungkin Pemuda UMNO akan diberi keutamaan sewaktu tema Belia dan Sukan dilaksanakan bagi memastikan program yang dirangka menepati cita rasa golongan muda di bahagian-bahagian,'' ujarnya.

Tiada ulasan: