Jumaat, 29 Januari 2010

Pelajar Wanita Maut, 8 Cedera Dalam Kemalangan

BERNAMA


KOTA BHARU: Seorang pelajar politeknik terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer 12, Jalan Pasir Mas-Salor, dekat sini, hari ini.

Mangsa Nor Shazwana Mohd Zain, 21, pelajar Politeknik Kok Lanas, meninggal dunia dua jam selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah berkata empat lagi rakan mangsa dari politeknik sama yang cedera dikenali sebagai Nurul Fazwanis Abllah, 23, Nor Rahimah Ibrahim, 22, Nor Aini Zakaria dan Siti Noraihan Yusoff, masing-masing 21 tahun.

Kesemua pelajar wanita, yang menaiki kereta Perodua Kancil itu, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, katanya, kereta Perodua Kancil yang dipandu Nurul Fazwanis cuba memintas sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang dinaiki oleh empat orang.

Bagaimanapun, katanya kereta Perodua Kancil itu gagal memintas kerana terdapat sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Akibat tidak sempat mengelak, kereta Perodua Kancil itu hilang kawalan dan merempuh bahagian tengah Toyota Avanza berkenaan menyebabkan kereta yang dinaiki mangsa terputus dua serta enjin tercabut," katanya kepada pemberita di sini.

Zahruddin berkata ketika kejadian, kedua-dua kereta itu dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Kota Bahru.

Katanya pemandu kereta Toyota Avanza, Marzuki Othman, 40, dan penumpang Norizatul Aziza Mohd Zamri, 23, Mohd Faizal Mat Min, 31, dan Nor Amirah Nawawi, 20, mengalami kecederaan.

Sebuah kereta bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, di sini, bersama enam anggotanya yang diketuai Mohd Nasir Mamat, berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan terbabit.

Tiada ulasan: