Khamis, 14 Januari 2010

Pelajar tendang kemaluan penculik

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH: Tindakan berani seorang pelajar menendang kemaluan seorang lelaki menyelamatkannya daripada diculik di Lorong Kledang Timur 10, Bandar Baru Menglembu, dekat sini Sabtu lalu.

Hew Yong Wen, 17, menendang suspek yang cuba menariknya ke dalam kereta.

Hew yang menceritakan detik cemas itu berkata, kejadian berlaku jam 4.15 petang ketika beliau mahu ke pusat tuisyen yang kurang satu kilometer dari rumahnya, sebelum dihalang kereta Kancil berwarna hijau.

“Kereta itu tiba-tiba berhenti dan seorang lelaki lingkungan 40-an menawarkan diri menghantar saya ke pusat tuisyen.

“Apabila saya menolak pelawaan itu, dia cuba menarik saya masuk ke dalam kereta. Akibat terlalu takut saya menendang kemaluannya untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di sini, semalam.

Hew yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kledang berkata, beliau juga bernasib baik kerana sebuah motosikal kebetulan lalu di situ dan membunyikan hon kerana kereta suspek menghalang laluan.

“Saya terus melarikan diri dari kawasan itu. Walaupun terkejut saya tetap ke pusat tuisyen,” katanya sambil mengaku fobia untuk ke mana-mana bersendirian berikutan kejadian itu.

Hew dan bapanya, Hew Fook Yoon, 46, membuat laporan di Balai Polis Menglembu sehari selepas kejadian malang itu.

Fook Yoon berharap polis mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan itu kerana takut kejadian berulang.

“Sejak kebelakangan ini, banyak kes ragut dan kecurian berlaku di sini,” katanya.

Tiada ulasan: